ALOR SETAR - Kenyataan pemimpin DAP melalui Lim Guan Eng dan Nga Kor Ming yang menggambarkan kerjasama UMNO-Pas memberi ancaman kepada kaum bukan Melayu di negara ini adalah merbahaya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kedua-dua pemimpin tersebut perlu bertanggungjawab kepada kenyataan masing-masing kerana selama 60 tahun UMNO mengemudi Kerajaan BN langsung tidak mengetepikan kaum lain.
Menurutnya, sebagai seorang menteri, kenyataan Guan Eng yang mengulas kerjasama UMNO-Pas sehingga mengeluarkan 'deklarasi perang' kepada kaum lain mampu menggugatkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Guan Eng mesti bertanggungjawab kepada kenyataannya kerana mengingatkan kita kepada tragedi 13 Mei 1969, dia telah membakar politik ini sebagai satu amaran.
"Kemudian timbul pula, seorang lagi iaitu Kor Ming kata negara ini akan jadi negara Taliban (jika kerjasama UMNO-Pas berjaya membentuk kerajaan), ini juga satu lagi kenyataan yang merbahaya,"katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Mahdzir berkata, DAP sering menuduh U dan Pas sebagai parti yang rasis namun hakikatnya mereka sendiri telah mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Menurutnya, DAP juga seharusnya tidak menghasut masyarakat Cina berhubung kerjasama parti-parti Melayu tersebut.
"60 tahun UMNO menerajui kerajaan, saya fikir tiada siapa yang kata negara ini Taliban, bangsa Melayu yang mendominasi politik itu selama ini tidak pernah mengenepikan hak kaum-kaum lain,"katanya.
Sebelum ini, Kor Ming yang merupakan Pengerusi DAP Perak mendakwa rakyat akan menderita jika UMNO, Pas membentuk kerajaan dan menjadikan negara ini seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan sebelum ini turut menyifatkan kerjasama Pas dan UMNO telah 'mengisytiharkan peperangan terhadap bukan Melayu'.
Namun kenyataan tersebut kembali ditarik dan diubah beberapa minit kemudian selepas mendapat kecaman oleh netizen.