MELAKA - Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tuminah Kadi, komuniti nelayan di kawasan Pantai Puteri bukanlah asing dalam kehidupannya kerana banyak permasalahan yang diadukan kepadanya selama ini.
Justeru, keluh-kesah komuniti nelayan yang merupakan 95 peratus pekerjaan penduduk di kawasan berkenaan merupakan antara tumpuan utama jika dipilih menjadi wakil rakyat DUN itu.
"Selama 24 tahun saya tinggal di Taman Tanah Merah Jaya, jeti nelayan Pantai Puteri ini memang menjadi laluan saya setiap hari mahupun membeli produk makanan laut dan produk hiliran untuk keperluan keluarga.
"Maka antara misi saya ialah menubuhkan sebuah badan kawal selia yang antara lain menguruskan produk hiliran nelayan supaya mereka boleh meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Tuminah, 54, yang mesra disapa ‘Kak Ina’ oleh penduduk kampung berkata, usaha menaik taraf insfrastruktur nelayan yang menjadi mangsa hakisan pantai juga adalah tumpuan isu yang akan diberi perhatian ibu kepada lima anak ini.
Katanya, hakisan pantai akibat pukulan ombak dan ketiadaan sebarang usaha untuk mengatasi masalah itu antara keluhan nelayan di kawasan sepanjang Pantai Puteri sejak beberapa tahun lalu sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
Persaingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor pada PRN Melaka bakal menyaksikan pertembungan dua rakan setelah berbeza fahaman politik pada kali ini.
Tuminah yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya membawa cabaran menentang bekas Ketua UMNO cawangan itu, Datuk Nor Azman Hassan, yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) setelah menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bulan lalu.
Seorang lagi calon di kerusi DUN Pantai Kundor ialah Mohd Ridzwan Mustafa yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pada PRU14, Nor Azman yang mewakili BN menang dengan majoriti 772 selepas menewaskan calon PH, Juhari Osman dan calon Pas, Abdul Halim Maidin.
Tuminah yang pertama kali bertanding juga adalah antara lima calon wanita yang dipertaruhkan BN bersama Datuk Kalsom Nordin yang bertanding di Pengkalan Batu, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Rim), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) dan Leong Hui Ying (Kesidang).
Sementara itu, bercakap mengenai cabaran sebagai calon wanita, Tuminah berkata, ia tidak menjadi masalah kerana pengalamannya membantu pemimpin BN berkhidmat di DUN tersebut banyak membantu dirinya.
"Saya pernah memegang jawatan ketua biro kebajikan dan pelbagai khidmat kepada masyarakat setempat telah saya lakukan dan ia juga membantu saya mengenali pengundi di DUN ini,” katanya.
Meyakini kawasan DUN Pantai Kundor adalah ‘kubu kuat’ BN di bawah UMNO, Tuminah tidak khuatir kerana pengundi kawasan berkenaan akan kekal setia dengan pentadbiran kerajaan BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap Sulaiman. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my