KUANTAN - Pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak pernah menyalahkan Norshahrul Idlan Talaha selepas penyerang tersebut melepaskan peluang menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Kedah, semalam.
Dollah berkata, Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo turut kecewa kerana terlepas peluang tersebut kerana jaringan tersebut akan mampu memberi tekanan kepada pasukan lawan.
"Ini bola sepak, macam-macam berlaku..Mat Yo sendiri kecewa kerana dia melepaskan peluang sepakan penalti untuk membantu pasukan.
"Namun, dia (Norshahrul) masih bermain dengan baik sepanjang perlawanan kerana dapat mengekalkan corak permainan untuk bersama mendapatkan gol buat pasukan," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan tersebut di Stadium Darul Makmur di sini.
Perlawanan di Stadium Darul Makmur malam tadi menyaksikan pengadil perlawanan Mohammad Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti selepas skuad Helang Merah, Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti pada minit ke-26.
Namun, sepakan Norshahrul ditepis keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Bagaimanapun, pemain gantian, Zuhair Aizat Mohd Nazri penyelamat bagi Tok Gajah apabila jaringan yang dihasilkan lima minit sebelum perlawanan tamat memastikan Pahang mengutip tiga mata.
Dalam pada itu, ditanya tentang perlawanan itu, Dollah berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain yang tidak mengenal erti putus asa untuk mendapat kemenangan di tempat sendiri.
Menurutnya, detik mendebarkan dirinya berakhir apabila Zuhair berjaya menjaringkan gol sebelum tamat perlawanan.
"Saya gembira kerana dengan kejayaan pemain malam tadi (semalam), kita dapat mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta Liga Super.
"Bagi saya, semua pemain beraksi dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi dinafikan pertahanan lawan.
"Kita juga menguasai 65 peratus permainan dan kemenangan ini memberi lebih keyakinan kepada pemain untuk mengekalkan prestasi ini pada perlawanan akan datang," katanya.