'Pengundi Melaka waspada, ada cubaan burukkan imej calon BN' - Zahid

Iklan
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

MELAKA TENGAH - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter terhadap calon Barisan Nasional.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, strategi itu digunapakai bagi merosakkan nama baik calon BN, yang beliau dakwa sering dilakukan pada pilihan raya umum 2018.

Iklan
Iklan

Katanya lagi, usaha tersebut mempunyai tujuan untuk memperdaya rakyat daripada isu-isu mendasar, kepada isu yang menyerang peribadi calon BN.

"BN bercerita tentang mengembalikan kestabilan demi kemakmuran Melaka, mereka pula gigih memperlekeh calon BN. Semoga rakyat Melaka tidak menghiraukan itu lagi kerana yang penting bersama mengembalikan Melaka ke landasan sebenar.

Iklan

"Kita sudah bosan dengan pendekatan lawan politik BN menghasut rakyat membenci dan memandang hina peribadi. Apa yang kita perdebatkan kompetisi ideologi, dasar, kemampuan, keberkesanan mentadbir, kejujuran dan keikhlasan parti,” katanya lagi.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati, faktor sekatan kempen secara fizikal mengakibatkan kesemua 112 calon yang bertanding, terpaksa beralih ke arah media sosial, serta kaedah tradisional seperti penyebaran risalah dari rumah ke rumah, dan tempat awam, untuk menyampaikan mesej mereka.

Iklan

Namun, kebergantungan kepada media sosial menyebabkan wujud usaha memanipulasi orang ramai, dengan penyebaran maklumat palsu dengan menggunakan identiti pihak lawan, serta cubaan menyerang peribadi calon bertanding.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN fokus untuk kembali sebagai sebuah kerajaan demi masa depan rakyat dan negara.

"Justeru misi rakyat Melaka memastikan kemenangan BN dalam PRN kali ini juga merupakan misi seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. - Awani