SIBU - Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana parti politik yang melanggar SOP itu, khasnya berkaitan aktiviti kempen secara fizikal yang melibatkan hadirin yang ramai.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan sebarang SOP khusus untuk PRN Sarawak, namun beliau percaya ia tidak jauh beza dengan SOP bagi PRN Melaka, dan menurutnya SOP yang dikeluarkan itu nanti akan dapat membantu polis dalam aspek pemantauan perjalanan PRN Sarawak.
"Pihak polis akan memberikan layanan yang saksama kepada semua parti. Tidak akan ada pilih kasih sekiranya ada pelanggaran SOP," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Ditanya sekiranya ada kawasan panas yang perlu diberi perhatian oleh polis semasa PRN Sarawak, Aidi memberitahu, tidak ada kawasan panas sedemikian di negeri ini, meskipun terdapat insiden perbalahan antara parti di beberapa tempat pada pilihan raya yang lepas.
"Ia tidak serius di Sarawak namun kita ambil insiden lepas dalam pertimbangan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Beliau sebelum itu menyaksikan majlis serah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Sibu di IPD Sibu pada Khamis.
Tugas Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit yang bersara wajib mulai Jumaat akan dipangku oleh Timbalannya, Superintendan Collin Babat sehingga Ibu pejabat Polis Bukit Aman menamakan penggantinya. - Bernama