NEW DELHI - INDIA. India hari ini mendakwa Pakistan tidak mengambil langkah konkrit dalam menangani kumpulan militan.
Malah, New Delhi berpandangan skeptikal terhadap laporan Islamabad menahan lebih 100 individu disyaki militan.
"Kehadiran kem militan di seluruh Pakistan bukan lagi rahsia dan telah diketahui masyarakat antarabangsa.
"Pakistan juga telah gagal mengambil tindakan yang boleh dipercayai terhadap Jaish-e-Mohammad (JeM) dan beberapa organisasi pengganas lain.
"Mereka (militan) terus beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Pakistan," kata jurucakap Kementerian Luar India.
Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Pakistan mendakwa sudah menahan 121 orang di bawah undang-undang tahanan pencegahan.
Antara yang ditahan adalah ahli kumpulan JeM yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan bunuh diri di wilayah Kashmir bulan lalu yang meragut nyawa 40 anggota separa tentera India.
Media Pakistan turut melaporkan, ahli pertubuhan pengganas disenaraikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamaat-ud-Dawa (JuD) antara yang ditahan.
JuD adalah pertubuhan payung militan Lashkar-e-Taiba (Let) yang didakwa mendalangi serangan di Mumbai sehingga mengorbankan lebih 160 orang pada 2008.
Ketegangan di wilayah bertelingkah Kashmir sejak 27 Februari lalu berakhir dengan kedua-dua pihak mendakwa mereka menembak jet pejuang antara satu sama lain dan seorang juruterbang India ditawan Pakistan.
Juruterbang terbabit kembali ke India minggu lalu, melintasi sempadan Wagah dengan berjalan kaki. - AFP