KKM puas hati pematuhan SOP PRN Melaka: Khairy

Iklan
Khairy Jamaluddin bercakap mengenai Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 di Wisma Berita, Angkasapuri hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik supaya menunjukkan kepimpinan melalui teladan agar rakyat turut mematuhi SOP yang dikeluarkan.

Iklan
Iklan

"Secara keseluruhan, KKM melihat pematuhan SOP adalah baik namun malangnya ada juga yang tidak patuh seperti pemimpin dan ahli politik. Sepatutnya mereka (pemimpin dan ahli politik) menunjukkan teladan yang baik.

"Sepatutnya mereka ini lebih memahami dan mungkin apabila ke lapangan, minta kurangkan pegawai pengiring. Apabila terlalu ramai orang yang mengiring seseorang pemimpin itu, susah untuk menjaga jarak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada Khamis.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, mengenai kira-kira 40 peratus individu yang tidak hadir selepas menerima janji temu vaksinasi dos penggalak Covid-19, Khairy berkata, KKM akan meningkatkan komunikasi untuk memastikan kesemua penerima janji temu dos itu hadir menerima suntikan.

Iklan

Beliau berkata, bukti bahawa dos penggalak itu selamat digunakan akan dimaklumkan kepada individu terbabit terutamanya bagi melindungi orang ramai daripada ancaman virus Covid-19.

"Kita akan pastikan mereka yang dah terima janji temu booster (dos penggalak) dapat menepati janji temu yang diberikan. Kita akan tunjukkan bukti bahawa ia selamat dan sangat digalakkan untuk melindungi terutamanya orang tua daripada kesan buruk virus,” katanya.

Beliau memaklumkan peratusan itu menerusi ciapan di Twitter rasminya pada Rabu dan berkata, jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah. - Bernama