SHAH ALAM - Portal berita Sinar Premium akan memulakan langganan berbayar bermula 15 November ini.
Dengan tagline Eksklusif dan Kritis, portal baharu yang dilancarkan pada 31 Julai lalu, menyampaikan laporan berita dan artikel yang lebih mendalam, berkualiti serta kritikal kepada rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, portal Sinar Premium menampilkan kandungan berbeza berbanding Sinar Harian Online.
Katanya, Sinar Harian Online akan kekal menjadi portal berita utama yang menyampaikan perkembangan terkini dan langsung di Malaysia.
"Bagaimanapun, Sinar Premium akan menghidangkan laporan yang akan mengajak pembaca berfikir daripada perspektif berbeza.
"Di Malaysia, telah banyak portal berita biasa, jadi sudah tiba masanya kami di Sinar Karangkraf membawakan sesuatu yang baharu kepada pembaca negara ini.
"Langganlah segera untuk mendapatkan kandungan berita yang lebih eksklusif daripada kami," katanya.
Sejak dilancarkan tiga bulan lalu, pembaca meraih manfaat secara percuma bagi melayari semua isi kandungan Sinar Premium dengan cara mendaftar menggunakan e-mel atau Facebook.
Farah berkata, pembaca yang ingin mengetahui pakej langganan yang ditawarkan boleh melayari portal Sinar Premium di https://premium.sinarharian.com.my.
"Hanya daftar dan langgan mengikut pakej yang disediakan serendah RM6.90 sebulan untuk anda melayari semua isi kandungan Sinar Premium.
"Pembaca akan menikmati berita terkini seawal 6 pagi yang boleh diakses melalui semua jenis peranti tanpa had, pembaharuan automatik dan akses percuma kepada e-Paper Sinar Harian untuk 30 hari,” katanya.
Selain pakej bulanan, pembaca boleh melanggan pakej tiga bulan berharga RM18.60; pakej enam bulan (RM35.00); dan setahun (RM66.20).
Langganan korporat pula akan menikmati pelbagai inisiatif tambahan manakala golongan pelajar dan pengajar akan mendapat potongan sebanyak 50 peratus daripada harga asal pakej langganan.
Tambah Farah, beliau berharap rakyat Malaysia yang dambakan bahan bacaan ilmiah, kritis dan lebih bermaklumat dapat memberi sokongan kepada produk baharu Sinar Karangkraf.
"Sinar Karangkraf sentiasa mendahului masa dan zaman, sebab itulah ketika portal lain mungkin lebih berminat meninggikan trafik dengan bacaan sensasi dan viral semata-mata, kami tampil dengan idea berbeza dalam memperkasakan suara rakyat.
"Kami berharap pembaca dapat memberi sokongan kepada Sinar Premium dalam menghargai bahan bacaan berkualiti dan kritis," katanya.