Arahan daripada Jho Low adalah mandat Najib: Saksi

Iklan
Najib dan Jho Low

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa semua arahan yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dianggap mandat daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azmi Tahir, 46, berkata, dia dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa Jho Low adalah penasihat atau orang yang rapat kepada bekas Perdana Menteri itu dan Jho Low juga akan memberi maklumat atau arahan yang perlu beliau laksanakan kerana ia adalah daripada Najib.

Iklan
Iklan

"Saya juga difahamkan Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan pihak Abu Dhabi dan Arab Saudi dan beliau juga merupakan orang kepercayaan Najib. Saya hanya mengikut arahan yang diterima oleh arwah Datuk Azlin dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin kerana saya menganggap itu adalah arahan daripada Perdana Menteri.

"Semasa bertugas sebagai CFO 1MDB, terdapat tindakan sulit di belakang yang telah disusun dan dirancang oleh Jho Low melalui arahan dan kelulusan Najib serta orang tertentu dipilih dalam pengurusan tertinggi 1MDB dan ahli lembaga pengarah bagi memastikan arahan tersebut akan dilaksanakan. Saya boleh katakan sistem ini adalah berlapis,” kata Azmi.

Iklan

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Azmi berkata, dia juga diberitahu bahawa arahan daripada Najib ini selari dengan Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) Persatuan 1MDB kerana setiap keputusan penting perlulah di bawah arahan dan kelulusan Najib.

Iklan

"Datuk Seri Najib mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara. Selain saya, antara pengurusan tertinggi yang disusun dalam sistem ‘work in silo’ dalam 1MDB ini adalah bekas Ketua Pegawai Operasi Mohd Hazem Abd Rahman; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Koh; bekas peguam Jasmine Loo dan Timbalan CFO Terence Geh.

"Saya hanya menerima arahan selari dengan pengurusan tertinggi lain dan pada masa sama Jho Low memberitahu saya semua tugasan adalah berdasarkan 'need to know basis' iaitu kami hanya akan diberitahu mengenai sesuatu perkara berdasarkan skop tugasan dan setakat yang saya perlu tahu sahaja,” katanya.

Azmi menambah, Jho Low akan menghantar e-mel dan Blackberry Messenger (BBM) yang mengandungi nota percakapan dan pelan tindakan kepada beliau dan orang lain dalam lapisan silo ini.

"E-mel ini perlu dipadam segera selepas dibaca kerana Jho Low tidak mahu ia bocor kerana arahan sulit tersebut melibatkan keputusan dan kehendak Perdana Menteri serta perlu melaksanakannya dengan segera memandangkan Najib mahu ia dilaksanakan segera.

"Kebiasaannya keputusan kritikal akan dibuat melalui Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) tanpa melalui mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) kerana Jho Low akan mengarahkan Loo untuk menyediakan semua DCR. BOD hanya perlu menandatangani DCR tersebut tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah arahan Jho Low,” katanya.

Tambah Azmi, semua DCR itu disusuli oleh kelulusan Najib melalui sebuah dokumen resolusi pemegang saham yang Najib telah mengetahui lebih awal berdasarkan perbincangannya (Najib) dengan Jho Low.

"Ini berdasarkan dokumen yang telah ditandatangani dan dalam pengetahuan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

"Keseluruhannya, bagi saya, peranan Jho Low amatlah ketara sebagai penasihat kepada Najib dan boleh juga dikatakan Jho Low merupakan orang kanan dan dipercayai Najib dalam urusan 1MDB ini,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama