BANDUNG - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat fasiliti pengeluaran produk ketenteraan dan komersial Indonesia milik PT Pindad, yang terlibat dalam industri pertahanan sejak 1983.
Dalam lawatan itu beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq.
Hadir sama bagi pihak Indonesia pula Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, Direktur Utama PT Pindad, Abraham Mose selain Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim yang juga menteri pengiring.
Lawatan itu merupakan agenda terakhir Ismail Sabri yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia.
Syarikat milik kerajaan Indonesia itu menghasilkan produk ketenteraan dan komersial antaranya pistol, senapang, peluru, kenderaan khusus termasuk kereta perisai, produk pyroteknik, bahan peledak, produk mekanikal, elektrikal optikal dan opto elektronik.
Syarikat itu adalah pembekal utama persenjataan dan amunisi untuk Tentara Nasional Indonesia dan badan beruniform lain bagi menyokong keupayaan pertahanan dan keselamatan Indonesia.
PT Pindad turut menjalankan aktiviti reka bentuk, pembangunan, kejuruteraan dan fabrikasi serta penyelenggaraan.
Fasiliti pengeluaran di sini berkeluasan 66 hektar dengan fasiliti terbesarnya di Malang, di Jawa Timur, berkeluasan 166 hektar. - Bernama