Kesihatan awam perlu jadi keutamaan parti politik

Iklan
Mengamalkan SOP pencegahan Covid-19 perlu terus dijadikan amalan termasuklah ketika berkempen.

MELAKA - Ketika ghairah berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) ini, mungkin ada pihak yang terlupa bahawa soal kesihatan awam juga perlu diberikan perhatian serius, yang jika tidak dikawal, dibimbangi boleh menyebabkan peningkatan penularan pandemik Covid-19, seperti yang berlaku pada PRN Sabah.

Harus diingat bahawa individu yang telah lengkap divaksin juga masih boleh dijangkiti Covid-19, apatah lagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang tidak menerima vaksin atau individu termasuk warga emas serta individu dengan komorbid.

Iklan
Iklan

Mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dengan melakukan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan perlu terus dijadikan amalan termasuklah ketika berkempen yang telah memasuki hari keempat hari ini.

Tiga hari lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan SOP khas yang ketat bagi PRN Melaka meliputi larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal termasuk ziarah rumah ke rumah, tinjauan mesra (walkabout) sepanjang tempoh pilihan raya.

Iklan

Malah bukan sahaja calon bertanding dikenakan sekatan, petugas media juga tidak terkecuali dalam larangan itu yang tidak membenarkan temu bual dilakukan secara spontan (terjah) atau di luar masa yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang mengulas perkara itu berkata, corak kempen yang didominasi kempen secara fizikal pada PRN Melaka jika tidak dikawal, tidak mustahil boleh mengulangi insiden penularan pandemik Covid-19 PRN Sabah.

Iklan

"Kerajaan kena ambil tindakan tegas memandangkan SOP telah pun diadakan bagi PRN Melaka. Jika pematuhan SOP itu diabaikan, ambil tindakan tutup premis dan sebagainya. Selain itu, media juga memainkan peranan penting dalam mengingatkan semua pihak agar mematuhi SOP.

"Bayangkan kalau 10 peratus (pengundi) di Melaka tidak divaksin, berapa ramai dia boleh menjangkiti individu serta jentera parti yang datang ke Melaka ini, dan mereka juga berisiko untuk menyebarkannya selepas pulang ke negeri masing-masing. Kena ingat, PRN ini semua tertumpu di sini,” katanya kepada Bernama.

Beliau percaya soal denda bukanlah isu besar buat parti politik, namun kesihatan awam perlulah diberikan keutamaan dalam gerak kerja kempen, agar Melaka tidak mencetuskan kluster Covid-19 baharu.

Peringatan sama juga telah dikeluarkan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali pada Rabu kepada parti dan individu perseorangan yang bertanding, bahawa tidak faham atau tidak jelas dengan SOP tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka melanggar peraturan atau undang-undang yang ditetapkan sepanjang proses PRN.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. - Bernama