Anggota polis meninggal dunia ketika rondaan

Iklan
Jenazah Allahyarham Mohd Nor Afiza dibawa ke Kampung Bukit Besi, Dungun untuk dikebumikan.

KEMAMAN - Seorang anggota polis meninggal dunia dipercayai akibat serangan sakit jantung ketika melakukan rondaan pematuhan bersama pasukan malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Lans Koperal Mohd Nor Afiza Mohd, 36, dikejarkan ke di Hospital Kemaman selepas rebah di sebuah stesen minyak di bandar Chukai.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurut beliau anggota polis berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam.

"Sebelum itu, Allahyarham meminta rakannya berhenti di sebuah stesen minyak. Sebaik keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV), arwah tiba-tiba rebah dan terus dikejarkan ke Hospital Kemaman, sebelum disahkan meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, pada Khamis.

Iklan

Menurut Hanyan, Mohd Nor Afiza merupakan anggota Balai Polis Chukai yang berkhidmat selama 15 tahun bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat anak berusia 15 bulan hingga 12 tahun.

Iklan

"Arwah merupakan seorang anggota yang berdedikasi, rajin bekerja, disenangi rakan-rakan serta mempunyai hubungan baik dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, isterinya Norazilla Mohd Yusuff, 32, berkata, suaminya itu pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum ini.

Bagaimanapun, Allahyarham yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan darah tinggi tidak mengambil cuti sakit kerana mahu bertugas.

Norazilla berkata, dia terkejut dan tidak menyangka menerima khabar duka bahawa suaminya meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Arwah bekerja syif petang pada Rabu. Sebelum keluar bekerja dia ada mengadu sakit dada dan penat. Selepas saya mengurut kaki dan badan, arwah memberitahu berasa agak lega dan ingin keluar bekerja.

"Kali terakhir kami berhubung melalui panggilan telefon pada jam 5 petang. Ketika itu nada suaranya seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya.

Dalam pada itu, Norazilla berkata, sejak tiga hari sebelum meninggal dunia suaminya hanya mahu mahu makan nasi berlauk budu, kicap dan ikan goreng sahaja.

"Arwah juga meminta saya masak kari ikan dan sempat menjamah juadah itu sebelum keluar bekerja.

"Walaupun masih terkejut dengan pemergian arwah, saya reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi," ujarnya.

Jenazah Mohd Nor Afiza akan dikebumikan di Kampung Bukit Besi, Dungun, pada Khamis.