BACHOK - Seramai 24 orang penduduk termasuk kanak-kanak dari lima buah keluarga yang tinggal Taman Siti Jaya, Kampung Surau Batu, Jelawat di sini terpaksa 'bermalam' di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka ditenggelami air pada Rabu malam.
Ia susulan hujan tanpa henti sejak jam 9 pagi Rabu menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air sekali gus mereka terpaksa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat.
Seorang penduduk, Mohd Azilah Mat Zain, 42, berkata, dia dan keluarga terpaksa berpindah pada jam 9.30 malam selepas air masuk ke dalam rumah dengan begitu cepat.
"Saya hanya sempat menyelamatkan barangan penting," katanya ketika ditemui di PPS SMK Jelawat pada Khamis.
Menurutnya, kesemua peralatan rumah seperti perabot terpaksa dibiarkan tenggelam kerana tidak dapat menyelamatkannya susulan paras air naik terlalu cepat.
Katanya, buat pertama kali dia bersama isteri dan anak-anak terpaksa bermalam di PPS selepas lima tahun menetap di taman tersebut gara-gara banjir.
Tambah Mohd Azilah, dia reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan musibah itu sebagai ujian yang perlu diharungi oleh mereka sekeluarga.
"Saya harap cuaca kembali baik dan air surut dengan cepat supaya kami dapat pulang ke rumah," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati hujan lebat menyaksikan kesemua kawasan perumahan itu ditenggelami air.
Sementara itu, beberapa sungai utama merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong pada bacaan 41.12 meter (m); Sungai Lebir di Tualang (37.59 m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (29.04 m) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (18.89 m).
Sungai Kelantan di Tambatan Diraja pada paras 5.67 m; Sungai Golok di Jenob (25.64 m); Sungai Golok di Rantau Panjang (10.78 m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu (3.30 m).