Lelaki pecah masuk rumah kebajikan, cabul nenek

Iklan
Seorang penjual barangan lusuh ditahan disyaki mencabul wanita warga emas selepas memecah masuk sebuah rumah kebajikan orang tua di Seri Alam pada Rabu.

PASIR GUDANG - Polis menahan seorang penjual barangan lusuh disyaki mencabul seorang wanita warga emas selepas memecah masuk sebuah rumah kebajikan orang tua di Seri Alam di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek yang juga lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan sekitar Desa Cemerlang di sini kira-kira jam 8 malam hasil maklumat risikan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penahanan suspek itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah kebajikan berkenaan yang mendakwa pihaknya telah merakam satu perbuatan memecah masuk ke premis mereka.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 12.30 tengah malam (10 November) mendapati seorang lelaki telah memecah masuk premis melalui tingkap bahagian bawah premis yang tidak bertutup.

Iklan

"Dalam rakaman CCTV, suspek juga dilihat telah melakukan perkara yang tidak senonoh (mencabul) terhadap seorang mangsa wanita berusia 71 tahun yang juga penghuni rumah kebajikan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Sohaimi berkata, penahanan suspek itu turut membawa kepada penemuan beberapa barangan termasuk pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

Iklan

"Semakan rekod lampau mendapati suspek juga mempunyai empat rekod jenayah termasuk tiga membabitkan dadah.

"Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan,” katanya.