KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan mewujudkan Bandar Pintar atau 'Smart City' di beberapa kawasan tumpuan yang akan dipacu oleh pelan strategik Kerajaan Digital.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan bandar pintar itu adalah bagi mewujudkan ekosistem ekonomi digital dan pembudayaan digital dalam meningkatkan kualiti hidup yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Menurutnya, ia selaras dengan teras ketiga Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
"Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi, melaksanakan pendigitalan perkhidmatan serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur," katanya ketika melancarkan Aplikasi E-Jariah Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu pada Khamis.
Bercakap mengenai E-Jariah Sabah, Hajiji berkata, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kini melakar sejarah baharu dengan membangunkan aplikasi yang pertama menerusi kerjasama dengan TM One iaitu cabang perniagaan Telekom Malaysia Berhad.
"Aplikasi itu akan memudahkan orang ramai termasuk mereka yang bekerja sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, syarikat atau perseorangan, membuat sumbangan jariah atau sedekah hanya melalui telefon pintar.
"Ia bukan saja mudah dan pantas, malah lebih selamat tanpa perlu bersemuka, dalam keadaan pandemik ketika ini," katanya.
Katanya, kerajaan negeri berbesar hati dengan komitmen PBNS yang mempelbagaikan aktiviti kutipan sumbangan mereka melalui kaedah yang mudah dan bersesuaian dengan peredaran terkini.
"Saya percaya dengan adanya aplikasi ini akan memudahkan orang Islam secara keseluruhannya terutama yang bekerja menggunakan kaedah ini dengan membuat potongan gaji secara bulanan dan mengikut kemampuan masing–masing kepada PBNS.
"Secara tidak langsung ini akan dapat membantu PBNS melaksanakan aktiviti agihan mereka yang akan memberikan manfaat kepada golongan sasar dan memerlukan di negeri ini," katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berharap orang awam dapat memanfaatkan aplikasi E-Jariah dengan sepenuhnya kerana ia akan memudahkan orang ramai untuk membuat sumbangan walau di mana sahaja berada.