ALOR GAJAH - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyangkal pandangan sesetengah pihak yang melabel beliau sebagai ‘naga, buaya, singa atau harimau’ di Melaka; sebaliknya beliau melihat dirinya sekadar seorang yang ‘humble’ kepada parti.
Beliau yang diajukan soalan panas berhubung persepsi yang dimainkan pihak tertentu terhadap dirinya, yang didakwa menjadi ‘Abang Besar’ melebihi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, dirinya dilabelkan sedemikian rupa berikutan tanggungjawab dan amanah yang digalasnya di Melaka selain menganggap ia permainan politik pihak tertentu
"Saya dilihat begitu kerana saya memandu dan memayungi pimpinan saya bagi memenangi PRN Melaka, jadi saya menyanggah semua persepsi ini dengan hati terbuka. Bagaimanapun sebagai pemimpin pastinya kritikan selalu ada, dan saya melihat ‘anggapan’ sebegini semuanya adalah permainan politik pihak tertentu," kata Pengerusi UMNO Melaka itu kepada Bernama TV dalam satu temu bual eksklusif di sini pada Khamis.
Beliau yang bertanding sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyifatkan pihak yang memainkan isu berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab bukan sahaja pada diri sendiri, malah kepada negeri dan masyarakat Melaka.
Ab Rauf juga tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya dibuat berikutan terdapat pihak yang mengidam jawatan ketua menteri, dan cuba mencipta persepsi negatif ini dalam kalangan rakyat terhadapnya.
"Isu ini dimainkan oleh mereka yang kecewa, tidak dapat meletakkan diri dia sebagai ketua menteri sekali lagi kerana perancangan awalnya dia boleh mengambil alih kerajaan negeri, tetapi dia dipermainkan dan dipergunakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, akhirnya tidak diizinkan menjadi ketua menteri. Jadi dia mengalihkan isu ini," katanya.
Sebagai individu yang mengepalai UMNO di Melaka, Ab Rauf berkata, dirinya dilihat rapat dengan Sulaiman, namun beliau masih menghormati sempadan dan tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Ab Rauf yang disifatkan sebagai calon 'heavyweight' bagi merebut kerusi panas di DUN Tanjung Bidara, akan berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH). Penyandang kerusi itu ialah Datuk Md Rawi Mahmud daripada BN.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh mengundi. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my