Belia letak harapan tinggi kepada calon muda

Iklan
Shazly

MELAKA - Calon-calon muda yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu tegas dalam memperjuangkan suara anak muda di negeri ini.

Iklan
Iklan

Itu yang disuarakan golongan muda di negeri ini yang amat mengalu-alukan pencalonan muka baharu serta anak muda, seterusnya membawa budaya politik baharu demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat untuk jangka masa panjang.

Penduduk, Shazly Shafiq, 25, dari Ayer Molek berkata, selepas Melaka berdepan konflik politik sehingga diheret ke gelanggang PRN ketika tempoh pandemik Covid-19, fokus sepatutnya diberikan kepada calon dan bukan lagi parti.

Iklan

Menurutnya, langkah kesemua gabungan parti yang berani menampilkan calon muda wajar diraikan bersama.

"Saya percaya suara anak muda boleh bersatu dan mentadbir dengan baik demi kebaikan kerajaan negeri tidak kira parti mana mendapat mandat nanti.

Iklan

Mohammad Nur Naim

"Saya berharap individu atau calon itu sendiri yang memberi tumpuan penyelesaian masalah rakyat khususnya anak muda," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Seorang lagi penduduk, Al Bukhari Md Tahir, 23, juga meletakkan harapan tinggi kepada calon muda bagi membawa perubahan besar.

"Tak kisah siapa atau parti mana pun, janji dapat bantu orang susah. Jangan bila nak undi saja, baru mereka datang tolong.

"Perjuangkan anak muda, fokus untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak," katanya.

Bagi Mohammad Nur Naim Mohamad Yusof, 22, yang merupakan pengundi di DUN Telok Mas, dia juga senada mahu bakal pemimpin fokus untuk mempermudahkan urusan anak-anak muda di negeri ini.

Al Bukhari

"Contohnya, selesaikan bagaimana nak memudahkan atau membantu anak muda untuk berniaga. Tambahan sekarang sukar untuk mencari pekerjaaan kesan daripada pandemik Covid-19.

Seorang pengundi muda di DUN Serkam, Nur Farah Izzati Noorazman, 22, berkata, PRN kali ini membuka lebih banyak ruang kepada calon muda untuk membuktikan kemampuan mereka meninggalkan budaya politik lama.

"Saya harap mereka dapat menjalankan kerja dengan lebih telus berbanding dengan pemimpin veteran pada hari ini. Saya juga berharap tidak ada lagi bantuan yang memfokuskan kepada kroni-kroni sahaja tetapi mestilah adil," katanya.

Farah Izzati

Nurul Hidayah Norkhamar, 27, juga meletakkan harapan tinggi supaya calon-calon muda berjuang untuk kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan, keselamatan dan pendidikan bagi semua lapisan masyarakat,

"Harap fokus lebih kepada keperluan dan keadaan rakyat semasa. Membantu rakyat untuk mengukuhkan ekonomi diri sendiri, keluarga dan negara dan tidak hanya fokus kepada kuasa dan politik sahaja," ujarnya.

PRN Melaka menyaksikan gabungan parti daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menampilkan calon terdiri daripada golongan muda.

BN menampilkan sebanyak 28 peratus calon berusia 45 tahun ke bawah.

PH juga mengesahkan 10 daripada 18 calonnya berusia bawah 40 tahun dengan calon paling muda berusia 21 tahun.

Sementara 43 peratus calon PN berusia 40 tahun ke bawah dan sebahagian besarnya adalah golongan profesional serta berpendidikan tinggi.