Pas terus istiqamah pimpin perpaduan umat: Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Pas akan terus beristiqamah bersama Islam dalam memimpin perpaduan umat dan menyelamatkan rakyat dalam sebuah Keluarga Malaysia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian parti itu tidak berganjak dan hanya akan membiarkan musuh mereka bersuara atau menyalak sekuat-kuatnya laksana anjing dan serigala.

Iklan
Iklan

"Kami berkeyakinan dengan janji ALLAH SWT kepada golongan yang mengacau dan menggoda terhadap perjuangan Islam dengan tangan, lisan dan tulisan, bahawa mereka pasti akan mendapat kecelakaan.

"Sebaliknya semua yang ikhlas dalam beramal soleh untuk menegakkan Islam, pasti akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat," katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas yang dikongsi di Facebook beliau pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau bersyukur kerana Muktamar Tahunan Pas telah berjaya diadakan dengan tenang.

Menurutnya, keadaan itu mengecewakan musuh-musuh mereka sehingga tidak tertahan meluahkan rasa kecewa.

Iklan

"Pas selamat bermuktamar dengan menunaikan agenda tahunan, melakukan muhasabah diri terhadap ahli dan jemaah yang diimani akan kebenarannya bagi mendapatkan keredhaan ALLAH SWT.

"Pada masa yang sama, diyakini dengan benar dan betul bahawa amalan menegakkan Islam diterima oleh ALLAH SWT. Mudah-mudahan, semua pihak mendapat kelebihan yang menjadi kurniaan ALLAH SWT yang telah dijanjikan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, bagi menjamin semua ahli parti tersebut terutama yang menggalas tugas penting seperti wakil rakyat terus beristiqamah, maka diwajibkan berbaiah (dengan nama ALLAH SWT dan akidah Islam).

"Istiqamah bersama Pas boleh menukar pemimpin, mengubah strategi dan pendekatan. Namun perkara dasar, rukun dan hala tujunya tidak berubah dan tidak berganjak sekali-kali.

"Sehingga Pas boleh bersefahaman dengan semua pihak, demi menyelamatkan manusia bersama Islam yang adil kepada semua," katanya.

Katanya, Pas tidak bergantung kepada ahli falsafah dan ilmuwan tanpa berpandukan hidayah, malah tidak terpengaruh dengan media murahan tanpa harga diri sebaliknya berpegang kepada perintah ALLAH SWT seperti yang terkandung dalam al-Quran.

Muktamar Tahunan Pas kali ke-67 yang berlangsung secara hibrid pada Sabtu dan Ahad lalu di Kuala Terengganu menyaksikan Abdul Hadi dan Timbalan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mengekalkan jawatan mereka bagi pemilihan sesi 2021-2023.

Malah, ketiga-tiga penyandang Naib Presiden juga berjaya mengekalkan jawatan masing-masing iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.