Piala AFF 2020: Dion Cools dijangka sertai Harimau Malaya

Iklan
Dion Cools

PEMAIN kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools dijangka membuat kemunculan pertama dalam pentas Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura pada perlawanan keempat Kumpulan B menentang Indonesia, 19 Disember ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tonggak pertahanan berusia 25 tahun itu menjadi pemain terakhir menyertai skuad kebangsaan di Singapura sejurus menamatkan tugasan bersama kelabnya, FC Midtjylland di Denmark yang dijangka berdepan Brondby dalam suku akhir Piala Danish pada 13 Disember ini.

Iklan
Iklan

Saingan bola sepak di Denmark kemudian dijangka berehat hampir dua bulan bagi memberi laluan cuti musim sejuk sebelum bersambung pada 20 Februari tahun depan.

"Pegawai kita ada berhubung dengan Cools dan beliau memang menyatakan minat untuk bersama Harimau Malaya di Piala AFF 2020,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan antara syarikat pewangi Little Joe dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Yusoff yakin skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu layak ke perlawanan akhir Piala AFF selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 yang menyaksikan Harimau Malaya muncul naib juara apabila tewas kepada Vietnam secara agregat 3-2.

"Agak lama tidak menang Piala AFF, lebih 10 tahun tetapi setakat ini belum boleh lagi cakap nak jadi juara kerana sasaran kita ke final dahulu,” katanya.

Iklan

Pada kempen Piala AFF 2020, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang dianggap ‘kumpulan maut’ membuka tirai kempen dengan menentang Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Dis) dan dua pertembungan epik menentang Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) bagi meraih slot ke separuh akhir.

Sejak dipertandingkan pada 1996, Malaysia hanya sekali muncul juara iaitu pada 2010 dengan menumpaskan Indonesia 4-2 secara agregat.

Sementara itu, Cheng Hoe bersyukur kerana FC Midtjylland bersedia melepaskan Cools bagi menyertai Piala AFF 2020 memandangkan pemain itu dianggap aset terbaik bagi memantapkan skuad negara pada kejohanan itu nanti.

"Kita terlepas khidmat Cools dalam beberapa perlawanan awal di Singapura, tetapi kita harus berterima kasih kepada kelab beliau kerana biasanya kelab keberatan melepaskan pemain mereka ketika cuti musim sejuk. Cools akan bersama kami pada perlawanan keempat dan saya dapat tahu beliau gembira serta tidak sabar untuk membantu negara,” katanya.

Cools pertama kali beraksi bersama Harimau Malaya ketika perlawanan pusingan kedua Kumpulan G pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu. - Bernama