BACHOK - Jambatan kayu yang terletak di kuala Kampung Pantai Melawi di sini dan sering tular di media sosial runtuh selepas dipukul arus deras sejak beberapa hari lalu.
Seorang penduduk, Wan Farizol Wan Awang, 55, berkata, runtuhan tersebut dipercayai berlaku akibat hujan lebat yang menyaksikan arus di kawasan kuala itu bertukar menjadi deras lalu menghempas jambatan tersebut.
"Arus air kali ini agak kuat berbanding tahun lalu dan situasi tersebut telah memberikan kesan yang tidak baik pada permukaan muara kuala itu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, jambatan sejauh 150 meter yang menjadi tarikan utama pelancong itu dibina menerusi kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan Majlis Daerah Bachok.
Katanya, kerja-kerja pembinaan itu dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan oleh kerajaan akibat serangan Covid-19.
Wan Farizol berkata, melihat kepada situasi cuaca semasa dia menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa berada di atas jambatan tersebut.
"Jambatan kayu ini sangat popular dalam kalangan orang ramai yang datang bergambar dan melihat keindahan pantai," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati jambatan yang berlantaikan kayu dan bertiangkan batang pokok nibong itu runtuh akibat pukulan arus deras.
Semasa tinjauan dilakukan kelihatan beberapa pengunjung melalui jambatan itu untuk bergambar.