KUALA TERENGGANU - Seramai 49 penarik beca dan 17 pengusaha bot penambang menarik nafas lega apabila menerima insentif khas RM1,200 setiap seorang membabitkan nilai peruntukan sebanyak RM79,200.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, bayaran insentif itu bagi tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember 2021.
Beliau berkata, insentif itu diselaraskan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bagi mengurangkan bebanan golongan terbabit akibat pandemik Covid-19.
"Kerajaan negeri peka terhadap nasib golongan pengayuh beca yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.
"Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sini pada Khamis.
Ariffin berkata, insentif RM200 sebulan yang diserahkan kepada penarik beca dan bot penambang itu akan diteruskan pada 2022 dan dibayar setiap tiga atau enam bulan sekali.
Sementara itu, seorang penerima, Yahya Ismail, 79, dari Kampung Gong Tok Nasek berkata, dia bercadang untuk menggunakan bantuan itu bagi membayar sewa rumah dan perbelanjaan dapur selain disimpan untuk kegunaan waktu kecemasan.
"Sepanjang pandemik ini, pendapatan saya terjejas. Dalam sehari, nak dapat pelanggan memang sukar. Saya juga terpaksa mengharapkan bantuan anak-anak.
"Sebelum pandemik, saya boleh dapat sehingga RM500 sebulan. Sekarang nak dapat RM100 pun susah," katanya yang sudah 40 tahun bekerja sebagai pengayuh beca.