Markless Komii harumkan nama Malaysia

Iklan
Pemain-pemain Markless Komii merangkul kejuaraan Festival Bola Sepak Pantai AFF 2021. - Foto Futsal Thailand

[DIKEMAS KINI] Markless Komii membalas kepercayaan diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul kejuaraan Festival Bola Sepak Pantai AFF 2021 yang berlangsung di pantai Pattaya, Chonburi Thailand.

Pasukan dari Terengganu ini muncul juara apabila mengekalkan rekod tanpa kalah setelah mengatasi lawan Thailand A, Thailand B dan All Star Inter dalam semua perlawanan yang diadakan secara liga sepusingan bermula dari 7 hingga 11 November.

Iklan
Iklan

Markless Komii menyingkap kempen langkah kanan kempen apabila mengatasi cabaran All Star Inter yang dibarisi dalam kalangan pemain terbaik Liga Bola Sepak Pantai Thailand, 13-3.

Bagaimanapun pada perlawanan kedua, Markless Komii berdepan ujian sebenar apabila berdepan tentangan sengit Thailand A sebelum berjaya menjinakkan pasukan pilihan itu, 5-4.

Iklan

Kemenangan ke atas pasukan pilihan itu ternyata satu tonik mujarab untuk perlawanan ketiga apabila Markless Komii berjaya menewaskan Thailand B, 5-3 sekali gus menjulang trofi kejuaraan.

Sementara itu, jurulatih Markless Komii, Wan Adremy Indera Wan Adnan berkata, beliau sangat bangga dengan komitmen dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain sepanjang mengharungi kejuaraan tersebut.

Iklan

"Alhamdulillah, secara jujur saya sangat bangga dengan semangat juang dipamerkan para pemain yang bermain sepenuh jiwa walaupun berdepan dengan kekangan dalam membentuk pasukan yang mantap.

"Kejuaraan ini merupakan hadiah terbaik untuk para pemain Markless Komii setelah memberikan yang terbaik sejak dari hari pertama pasukan ini diberikan tanggungjawab untuk mewakili Malaysia.

"Tugasan untuk mewakili Malaysia ini hadir pada saat-saat akhir, biarpun begitu kami sahutnya sebagai satu cabaran demi maruah negara.

"Bersandarkan hanya latihan selama empat hari dengan pendekatan dan taktikal bola sepak pantai moden serta tanpa sebarang perlawanan persahabatan, alhamdulillah ini satu kejayaan cukup bermakna kepada pemain-pemain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ditanya kemenangan Markless Komii pencetus hala tuju baharu bola sepak pantai negara, Wan Adremy Indera berkata:"Kebanyakan pemain ini boleh pergi lebih jauh dan mampu memberi saingan kepada kuasa bola sepak pantai pada masa depan sekiranya Malaysia mempunyai Liga Bola Sepak Pantai Malaysia sendiri."