Tiga pasukan solid

Iklan
JDT sekali lagi diletakkan sebagai pasukan pilihan mara ke final Piala Malaysia. FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS

TIGA pasukan - Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Melaka United FC diletakkan sebagai calon pilihan yang bakal beraksi di pentas final Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 30 November ini.

Ketiga-tiga pasukan itu dilihat menampilkan prestasi konsisten sejak aksi pertama peringkat kumpulan, sekali gus menjadi pilihan untuk menempah tiket final Piala Malaysia kali ini.

Iklan
Iklan

Penganalisis bola sepak, Azlan Johar berkata, baik JDT, TFC mahupun Melaka United, ketiga-tiga pasukan itu memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri dalam menghadapi pasukan lawan.

"Daripada apa yang saya lihat, tiga pasukan iaitu JDT, TFC dan Melaka United adalah pilihan untuk mara ke final Piala Malaysia kali ini. Tetapi saya memilih JDT dan TFC untuk beraksi di final sekiranya kedua-duanya tidak bertemu pada separuh akhir.

Iklan

"JDT seperti yang kita sedia maklum adalah pasukan yang cukup padu. Ini kerana kesemua jentera mereka bergerak dengan baik sehingga susah untuk kita melihat mereka melakukan kesilapan.

"Bagi TFC pula, saya melihat pasukan itu semakin hari semakin memuncak persembahan mereka. Ditambah pula dengan bimbingan coach Nafuzi Zain, prestasi TFC cukup mengagumkan musim ini.

Iklan

Melaka United tampil garang dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia. FOTO: FB MELAKA UNITED FC

"Berdasarkan undian peringkat kalah mati kali ini, JDT dan TFC dijangka bakal bertemu di peringkat separuh akhir. Jika itu berlaku, saya jangka peluang kedua-dua pasukan seimbang 50-50,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada masa sama, Azlan turut meramalkan Melaka United sebagai pasukan yang berpeluang cerah mara ke pentas final berdasarkan laluan mereka di peringkat suku akhir.

"Selain JDT dan TFC, saya memilih Melaka United sebagai antara pasukan yang ada potensi besar mara ke final. Melaka United telah menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam aksi peringkat kumpulan.

"Namun, saya juga melihat dua pasukan iaitu Selangor FC dan Kuala Lumpur (City FC) mampu melangkah jauh. Cuma dalam laluan aksi kalah mati itu, Melaka United tampak ada kelebihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan tidak menolak kemungkinan pasukan bukan pilihan mampu mencipta kejutan apabila berdepan lawan yang mempunyai reputasi tinggi.

"Semua pasukan perlu sedar di peringkat kalah mati seperti saingan suku akhir dan separuh akhir nanti, tidak ada peluang buat silap. Jadi tak mustahil juga kejutan boleh berlaku,” ujarnya.