PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sama seperti pilihan raya sebelum ini kerana berlangsung dalam norma baharu yang membataskan calon berkempen. Tidak ada himpunan ceramah atau kempen dari rumah ke rumah. Setiap calon perlu memikirkan cara lain untuk memikat hati pengundi.
Salah satu cara yang relevan adalah menggunakan media sosial. Penggunaan teknologi moden itu bagaimanapun membuka ruang luas pelbagai pihak membuat serangan peribadi terhadap calon.
Walaupun setakat ini tiada parti atau calon Bebas menggunakan serangan peribadi terhadap lawan sebagai bahan kempen, namun calon-calon terpaksa pula berdepan serangan peribadi daripada pengguna media sosial.
Antara yang menjadi mangsa ialah pelakon dan pengacara, Datuk Dira Abu Zahar yang bertanding bagi mewakili Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.
Selepas Dira, calon termuda BN bagi kerusi DUN Kesidang, Leong Hui Ying pula terpalit dengan kecaman tidak tahu berbahasa Melayu berikutan video tular ketika ditemu ramah wartawan.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Sungai Rambai, Farzana Hayani turut menjadi mangsa apabila dituduh tidak layak untuk menjadi wakil rakyat kerana dianggap masih mentah.
Bukan saja muka-muka baharu, malah serangan peribadi turut dilemparkan calon-calon dalam kalangan muka lama.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek yang menjadi calon bagi Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Duyong dituduh menipu kelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar yang dimilikinya.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang bertanding kerusi DUN Asahan atas tiket PH juga menjadi manga serangan apabila didakwa punca terhadap kejatuhan kerajaan negeri sebelum ini.Bagaimanapun, itulah asam garam dalam kempen pilihan raya. Setiap calon yang bertanding perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan menjadi mangsa serangan peribadi.
Namun, serangan peribadi jugalah menentukan sejauh mana kecekalan hati seseorang calon. Apabila menjadi wakil rakyat nanti, mereka sebenarnya akan berdepan dengan banyak lagi serangan peribadi.