Bekas ADUN tawar diri jadi calon

Iklan
Choon Koon menyapa rakyat ketika bersarapan di sebuah gerai di Kampung Lubok Kasau Bemban di sini, pada Jumaat.

JASIN - Tekad untuk terus memastikan nasib rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban terbela, bekas wakil rakyat kawasan itu Datuk Ng Choon Koon sanggup menyertai pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atas tiket sebagai calon Bebas.

Choon Koon, anak tempatan dan berlatar belakang peguam berkata, atas kehendak rakyat beliau sanggup mempertaruh nasib menggunakan logo pokok untuk membawa tujuh fokus utama demi kemakmuran dan keharmonian rakyat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau walaupun sukar untuk bersemuka dengan pengundi, namun mengakui tidak berdepan laluan sukar dalam pertembungan lima penjuru yang kebanyakan calon adalah muka baharu kecuali calon daripada Barisan Nasional (BN).

"Saya menawarkan diri sebagai calon bukanlah untuk membalas dendam kepada BN yang meletakkan saya sebagai calon DUN Kesidang dan kalah pada pilihan raya lalu atau sesiapa pun.

Iklan

"Tapi selepas tidak lagi bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan keluar daripada parti MCA, saya masih meneruskan kerja-kerja menjaga rakyat dan kebajikan termasuk ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya ketika ditemui di Lubok Kasau, Bemban di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, beliau berharap terus diberi kepercayaan oleh 18,573 pengundi kawasan itu untuk meneruskan bakti sebagai wakil rakyat.

Iklan

"Antara fokus yang akan ditekankan termasuklah masalah banjir, membangunkan hab pendidikan kerana kawasan itu belum wujud institut pengajian tinggi dan merealisasikan perancangan pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik," katanya.

PRN ini menyaksikan Choon Koon yang pernah menjadi ADUN Bemban selama satu penggal bertembung dengan lima calon iaitu Timbalan Ketua Bahagian Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Yadzil Yaakub; Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew; calon BN, Datuk Koh Chin Han dan seorang lagi calon Bebas, Azmi Kamis.

Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 DUN itu disandang oleh Datuk Dr Wong Fort Pin daripada Pakatan Harapan (PH) setelah menewaskan dua calon iaitu Chin Han dan calon Pas, Suhaimi Harun dalam pertembungan tiga penjuru dengan menang majoriti 1,345 undi.