SHAH ALAM - Walaupun peluang diberikan kepada muka-muka baharu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Melaka akan kekal berada pada takuk yang sama sekiranya sistem pemerintahan politik lama masih dikekalkan.
Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Ahmad Muaz Idris berkata, rakyat perlu diberikan pendidikan yang betul tentang kepentingan untuk memilih pemimpin.
"Sekiranya kita masih lagi nak bawa satu pendekatan untuk mengubah institusi politik dalam negara ini, tetapi masih lagi menggunakan acuan yang sama, apakah mungkin pemimpin yang baru naik ini boleh menentang arus yang besar?
"Muka baharu atau lama sebenarnya tidak ada masalah, tetapi sekiranya sistem pilihan raya dan cara provokasi yang sama disajikan kepada rakyat, maka sampai bila-bila pun kita masih lagi di takuk lama.
"Jangan jatuh pada lubang yang sama. Kalau kita pilih untuk jatuh pada lubang yang sama, jangan marah kalau jatuh sebab kita sudah diberikan pilihan.
"Pilihan sudah ada di depan mata, cuma kita perlu amati dan teliti dengan mata hati,” katanya
Beliau berkata demikian ketika program Berani Bersemuka yang bertajuk Muka Baharu atau Kitar Semula yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Khamis.
Program tersebut menyaksikan perdebatan dua calon muda PRN Melaka iaitu antara Ahmad Muaz dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Rim, Prasanth Kumar Brakasam.
Mengulas lanjut mengenai isu lompat parti, Ahmad Muaz berkata, prinsip yang dibawa dalam agenda Gagasan Bebas adalah untuk menstabilkan politik.
"Tidak cukup dengan hanya mengkaji, harus ada implementasi dan ikrar. Kita perlu masukkan juga baiah (perakuan sumpah setia kepada seseorang yang diberi kuasa).
"Bermakna selepas dia berjanji, namun dia lompat juga, dia sepatutnya mengambil pendekatan mengosongkan kerusi.
"Kerana orang-orang (pengundi) jauh balik Melaka semata-mata untuk memberikan undi yang terbaik kepada calon mereka.
"Jika pemimpin tidak dapat menjaga amanah dengan baik, mana mungkin mereka nak jaga amanah rakyat ? Amanah diri pun tidak dijaga dengan baik," ujar beliau.
'Jangan jatuh pada lubang yang sama’
Iklan