NILAI – Sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mencipta kejayaan dalam pertandingan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, mereka akan diberi Insentif Khas Atlet Cemerlang.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Rushdan Jailani dalam satu kenyataannya berkata, menerusi Insentif Khas Atlet Cemerlang ini yang dipersetujui pengurusan universiti, mahasiswa yang mengharumkan nama universiti dan negara akan menerima potongan yuran pengajian mengikut jenis pingat yang dimenangi dan peringkat penganjuran sukan yang disertai.
" Bagi atlet cemerlang di peringkat Sukan Kebangsaan dan Sukan Antara Universiti, atlet yang mendapat pingat emas diberi pengecualian yuran pengajian untuk satu semester.
"Penerima pingat perak dan gangsa masing-masing diberi 50 peratus dan 30 peratus pengecualian yuran pengajian untuk satu semester.
" Insentif lebih menarik bakal diterima bagi mahasiswa USIM yang meraih pingat diperingkat Asean, Asia, antarabangsa dan dunia. Sekiranya mahasiswa USIM berjaya menggondol pingat emas dalam mana-mana acara, pelajar berkenaan bakal menerima pengecualian yuran pengajian untuk tempoh tiga semester.
" Penerima pingat perak mendapat pengecualian yuran pengajian untuk dua semester manakala pemenang gangsa mendapat pengecualian satu semester," katanya ketika merasmikan pembukan Sukan Fakulti (SUFA) 2019, semalam.
Katanya, dengan insentif yang menarik ini ia diyakini akan melonjakkan lagi kecemerlangan atlet USIM diperingkat tertinggi.
Sementara itu, pengumuman ini ternyata disambut baik dan positif pelbagai pihak di USIM termasuk Pusat Sukan USIM selaku jabatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan atlet-atlet USIM yang melahirkan rasa terima kasih atas pengiktirafan ini.
Manakala pembukaan SUFA 2019 berlangsung penuh meriah apabila sekitar 1,000 penonton hadir memberi sokongan kepada atlet dari fakulti masing-masing yang menyertai perarakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah.
Sebanyak lapan pasukan akan berentap mewakili fakulti dan Pusat Tamhidi bermula 9 hingga 20 Mac ini dalam 15 acara yang dipertandingkan seperti bola sepak, sepak takraw, petanque dan bola jaring. Satu acara baharu turut diperkenalkan tahun ini iaitu bola keranjang 3 lawan 3.
Pada majlis pembukaan tersebut, para penyokong (ultras) dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dikenali QSgator dipilih ultras terbaik dan pasukan perarakan atlet gabungan Fakulti Sains dan Teknologi bersama Fakulti Kejuruteraan Alam Bina dikenali FBeasT dinobatkan johan perbarisan terbaik.