MELAKA - Masuk hari kelima berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, rata-rata calon daripada pelbagai parti politik termasuk calon Bebas meluahkan kesukaran kerana tidak dapat bersemuka dengan pengundi di kawasan masing-masing.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, dalam proses menentukan wakil rakyat, demokrasi pilihan raya itu perlu dengan memberi peluang calon bersemuka dengan pengundi.
Menurutnya, kerana prosedur operasi standard (SOP) agak ketat sekali gus sukar untuk calon memberi penjelasan kepada pengundi kenapa perlunya mereka dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Berbaki beberapa hari lagi untuk berkempen, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri mengharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi sedikit kelonggaran untuk calon bertemu pengundi.
"Kadang peti surat pun dah lama tak buka, nak selitkan pada pokok ke kayu-kayu angin tiup berterbanglah bahan kempen kami.
"Bukan kita nak buat ceramah besar tapi sekadar program ziarah rumah ke rumah seperti mana yang telah dilakukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim dan PRK DUN Chini walaupun waktu itu kita belum menerima vaksin dan tiada kluster," katanya.
Ujar beliau, sedangkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pun murid sukar untuk mengikutinya kerana masalah capaian internet lemah atau peranti yang tidak sesuai, inikan pula golongan berusia.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rim, Prasanth Kunar Brakasam turut mengakui menghadapi kesukaran dan kekangan untuk mengedarkan risalah kempen memandangkan rumah-rumah kampung di DUN itu sebahagiannya tiada peti surat.
Menurutnya, akses capaian internet yang lemah di kawasan kampung terutamanya menjadi cabaran utama untuknya memperkenalkan diri lebih-lebih lagi merupakan calon muka baharu.
"Di kampung Rim memang ada masalah internet, kalau letak risalah di pintu pagar pun tidak berkesan sebab sekarang ini musim hujan jadi kita kena terus mencari cara lain untuk mendekati pengundi," katanya.
Sementara itu, calon Bebas DUN Bemban, Azmi Kamis meluahkan seolah-olah tiada pilihan raya kerana terpaksa akur pada SOP yang dilihat tidak masuk akal, juga tidak mustahil pengundi mungkin menganggap calon sombong kerana tidak bertemu mereka.
"Macam tiada pilihan raya, 14 kali pilihan raya kita boleh jumpa pengundi, tapi ini tidak dan patutnya kita boleh bersemuka, yang penting calon jaga SOP.
"Mungkin ada pemimpin besar tak kisah melanggar SOP bersemuka itu, tapi kalau calon anai-anai macam saya jika dikompaun RM10,000 bagi saya satu nilai yang besar," katanya.
Bagi calon Perikatan Nasional (PN) DUN Durian Tunggal, Jaafar Othman turut tidak menafikan menghadapi masalah sama dan berharap kelonggaran itu dapat diberikan dalam mewujudkan situasi menang-menang dalam kalangan calon memandangkan hanya tinggal lebih kurang seminggu untuk calon berkempen.
Isnin lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan penganjuran ceramah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout), ziarah rumah ke rumah dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka antara yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN ini.
Dalam sidang akhbar selepas proses penamaan calon, beliau meminta semua pihak mematuhi segala SOP pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka yang disenaraikan dalam portal SPR, dan semua SOP itu telah diluluskan oleh KKM.