MELAKA - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto pakatan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ahad ini, kata Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi PRN Melaka, Badrul Hisham Shaharin.
Badrul Hisham atau Che’gu Bard berkata, manifesto yang antara lain berjanji untuk mewujudkan kerajaan stabil di Melaka dan antirasuah itu akan dilancarkan secara hibrid oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Untuk memastikan standard operasi prosedur (SOP) dipatuhi, ia diumumkan secara hibrid,” katanya kepada ketika ditemui Bernama di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun Badrul Hisham berkata, waktu pelancaran manifesto tersebut belum dimuktamadkan.
Rabu lepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manisfeso BN ‘Melaka Lima Tahun’ bersempena PRN Melaka yang menggariskan satu matlamat di samping lima teras dan 103 inisiatif.
Pakatan Harapan (PH) pula melancarkan manifesto Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang mempunyai tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil yang menggariskan 32 inisiatif.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.
Sementara itu, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, manifesto PN yang akan dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 5 petang di Shah Alam, Selangor, Ahad ini.
Katanya, manifesto itu juga akan meliputi segenap aspek dan lapisan masyarakat pelbagai kaum di Melaka.
Setakat ini, gabungan besar parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan manifesto masing-masing pada Rabu, 10 November lepas sementara Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dijangka melancarkan manifestonya minggu depan. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my