MELAKA - Calon ‘senior’ berusia 60 tahun ke atas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mempertaruhkan pengalaman dan komitmen bagi menangani isu rakyat setempat, selain sedia mengharungi cabaran menggunakan media sosial ketika berkempen.
Datuk Kalsom Nordin, 68, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu berkata, beliau mula berkecimpung dalam dunia politik seawal usia 30 tahun dan kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Wanita UMNO Melaka selain Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya.
"Walaupun dalam usia sebegini, saya bersedia, kita telah bersedia menghadapi segala cabaran yang akan datang. Dengan pengalaman ini dan gerak kerja yang tersusun sejak berpuluh tahun dahulu, Insya-ALLAH kita (BN) akan beroleh kemenangan," katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata, Wanita UMNO sememangnya sinonim dengan kerja-kerja kebajikan, malah barisan kepimpinan di bawah naungannya juga disifatkan kuat dan mempunyai jentera yang tersusun.
Mengulas mengenai kaedah berkempen secara dalam talian, Kalsom berkata beliau berasa teruja dan seronok menggunakan teknologi baharu sebagai cara menyampaikan mesej kepada masyarakat.
"Memang SOP (prosedur operasi standard) kali ini agak ketat, kita tidak boleh nak bergerak dan sebagainya. Jadi dengan adanya teknologi dan media sosial sedia ada ini, memang itu cara paling terbaik dan saya tiada masalah dari segi itu," katanya.
Kalsom berkata, sekiranya diberi mandat, beliau mahu menyelesaikan isu banjir di kawasan Pengkalan Batu dan isu kebersihan bagi menangani pembuangan sampah di merata-rata.
"Malah, Pengkalan Batu berpontensi dijadikan hab pelancongan, rumah-rumah tradisional telahpun dibina begitu cantik sekali," katanya yang akan memperjuangkan pembinaan sebuah hospital khas untuk wanita dan klinik kanak-kanak, selain mewujudkan platform e-sukan untuk kemudahan belia.
Kalsom yang pertama kali bertanding merupakan calon tertua dalam PRN Melaka, akan dicabar dalam pertandingan lima penjuru menentang Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).
Seorang lagi calon senior Datuk Seri Michael Gan Peng Lam, 61, daripada PN bagi kerusi Ayer Keroh mengakui terdapat banyak cabaran apabila berdepan calon muda, tetapi beliau yang juga Pengerusi Gerakan Melaka dan Naib Presiden Gerakan akan menggunakan pengalamannya untuk membantu rakyat.
"Orang muda ada dia punya kekuatan dan juga kelemahan, sama dengan orang tua macam saya, saya juga ada kekuatan dan kelemahan, tiada sesiapa yang sempurna. Sebagai orang muda, memang mempunyai kelebihan, saya (orang tua) juga punyai kelebihan, kita harus bergabung,” katanya.
Gan yang pertama kali bertanding juga berkata, calon perlu mengikuti teknologi semasa ekoran SOP ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam tempoh berkempen dalam PRN Melaka kali ini.
"Saya dah mula pakai Zoom, saya pun dah ada pasukan media sosial sendiri kerana apabila kita dah ambil keputusan untuk menceburi politik ini, kita harus ikut trend. Saya rasa itu (kaedah berkempen dalam talian) bukan satu masalah, dan pasukan saya terdiri daripada ramai orang muda,” katanya.
Bagi Gan, beliau akan cuba sedaya upaya menyelesaikan isu banjir di DUN Ayer Keroh sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kerana isu itu merupakan masalah paling serius dihadapi kawasan berkenaan.
"Banjir kerap berlaku kerana bencana alam sekitar, sebahagiannya. Saya bukan nak berjanji kosong tetapi saya akan lakukan yang terbaik, saya tidak berjanji untuk menyelesaikan 100 peratus, tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh mengatasinya," katanya.
Gan bakal berdepan pertembungan tiga penjuru menentang Kerk Chee Yee calon PH dan Yong Fun Juan (BN). Kerk merupakan penyandang kerusi berkenaan dengan majoriti 9,261 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. -Bernama