SHAH ALAM - Bank Rakyat menyerahkan 4,000 pensanitasi tangan dan 400 alat pemegang pensanitasi tangan berpedal kepada 200 sekolah terpilih di seluruh negara sempena pembukaan semula sesi persekolahan.
Pengerusinya, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, penyerahan tersebut telah dilaksanakan sejak 30 September lalu bermula di sekolah-sekolah di sekitar Johor Bahru dan Skudai Johor; Ayer Molek dan Kampung Duyong, Melaka; Seremban, Senawang dan Nilai, Negeri Sembilan; Sungai Petani, Kedah serta Kepala Batas, Georgetown dan Bayan Baru, Pulau Pinang.
"Inisiatif itu seiring dengan semangat serta konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan, melambangkan komitmen berterusan Bank Rakyat khususnya dalam usaha membendung risiko penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Rani berkata, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain warga emas, kanak-kanak merupakan antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19.
"Justeru, inisiatif ini sebagai salah satu usaha kami mencegah penularan wabak dalam kalangan pelajar bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka dapat diteruskan dengan selamat.
"Komitmen ini juga selaras dengan Rangka Kerja Kelestarian Bank Rakyat dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keempat, iaitu pendidikan berkualiti bagi memastikan kelangsungan pendidikan yang inklusif dan mapan,” ujarnya.
Beliau berkata, pada masa sama, ia juga bagi mengukuhkan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) seperti mana yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan impak yang positif kepada ekonomi serta komuniti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berharap menerusi sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu sekolah memenuhi keperluan pengurusan wabak Covid-19 di sekolah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Kami berharap pensanitasi tangan ini digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan warga sekolah dan pada masa yang sama dapat kita dapat terapkan aspek norma baharu kehidupan menerusi kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan diri dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.