MELAKA - Barisan Nasional (BN) mampu menawarkan pentadbiran yang lebih stabil di Melaka berdasarkan pengalaman memerintah negara selama lebih 60 tahun, kata calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Bekas Ketua Menteri yang mewakili BN itu berkata, BN merupakan parti yang mampu menjamin penyelesaian terhadap isu-isu rakyat di negeri ini.
"Insya-ALLAH kita ada perancangan. Sewaktu saya menerajui negeri Melaka selama 19 bulan, memang sudah ada perancangan yang bakal dan sudah dilaksanakan.
"Sudah pasti agenda utama yang kita nak bawa adalah untuk menyelesaikan isu-isu seperti banjir tempoh hari. Kita memang sudah ada perancangan jangka pendek dan panjang.
"Saya lebih memfokuskan kepada isu-isu rakyat. Sekiranya diberi peluang untuk BN sekali lagi menerajui kerajaan negeri Melaka, kita akan terus melaksanakan agenda masyarakat yang memerlukan lebih tumpuan dalam era endemik ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai kempen norma baharu dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Sulaiman yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri oleh BN mengakui banyak informasi terkini mengenai calon tidak dapat diakses kepada golongan veteran.
"Kaedah kini tidak sama seperti dahulu. Jadi banyak maklumat atau keupayaan calon tidak dapat kita sampaikan terutama kepada golongan berusia 50 tahun ke atas.
"Kita boleh menyampaikan melalui kaedah media massa, tapi golongan muda sahaja yang akan ambil maklum. Tidak semua penduduk yang tahu teknologi. Jadi, memang menjejaskan dari segi penyampaian maklumat kempen,” ujar beliau.