TNB buat persiapan rapi hadapi hari pengundian

Iklan
TNB buat persiapan rapi bagi memastikan bekalan elektrik di pusat-pusat pengundian dan penjumlahan undi PRN Melaka pada 20 November ini berada dalam keadaan baik.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan rapi bagi memastikan bekalan elektrik di pusat-pusat pengundian dan penjumlahan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini berada dalam keadaan baik.

Ketua (Operasi) Bahagian Rangkaian Pembahagian TNB, Mohd Yusof Ibrahim berkata, persiapan tersebut sudah bermula awal bulan lalu demi kelancaran bekalan sehingga majlis angkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu nanti.

Iklan
Iklan

"Fokus persiapan adalah memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan elektrik sentiasa terjamin.

"Seperti kebiasaan, kita memastikan gangguan yang minimum atau tidak berlaku sebarang gangguan sepanjang musim pilihan raya.

Iklan

"Persiapan TNB melibatkan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di pusat-pusat yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan seperti membuat penjadualan henti tugas terancang dan pembaikan segera pepasangan kabel bawah tanah.

Iklan

Selain itu, katanya, pihaknya turut menaik taraf pencawang sedia ada kepada fasiliti yang dikawal secara automasi melalui sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA).

"Bilik gerakan negeri dan bilik gerakan operasi juga diwujudkan untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal. Warga kerja teknikal juga diletakkan dalam keadaan tunggu sedia bagi memastikan kelancaran bekalan sepanjang proses pilihan raya,” jelas beliau.

Beliau bagaimanapun menasihatkan semua parti politik agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat.

"Ia termasuk menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

"Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar TNB boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” ujar beliau.