KAJANG - Seorang imam kedua sebuah surau di Taman Bukit Kajang, di sini maut manakala seorang lagi jemaah parah dilanggar kereta yang hilang kawalan dipandu imam pertama surau berkenaan selepas selesai menunaikan solat Subuh pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, imam pertama berusia 76 tahun tersebut melanggar kenderaan lain ketika mengundurkan keretanya.
Iklan
Iklan
"Imam pertama yang memandu Perodua Myvi itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke depan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang sedang berada di pekarangan surau.
"Mangsa yang berusia 78 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi jemaah dikenali sebagai Muhammad, 76, patah lutut kanan dan pergelangan kaki kiri sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Azman memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya dan memastikan keadaan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik sebelum memandu.
"Bagi pemandu berusia, mungkin ada keperluan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan demi memastikan kesesuaian untuk memandu," ujarnya.