KOTA BHARU -"Walaupun saya serba kekurangan, namun saya bersyukur dia dapat menerima saya seadanya," kata Nurasiah Ibrahim, seorang pesakit buah pinggang kronik yang mengakhiri zaman bujang dengan seorang jejaka pada Jumaat.
Nurasiah, 29, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam tidak pernah menyangka, jodohnya adalah seorang lelaki yang juga anak yatim piatu sepertinya.
Nurasiah hidup sebatang kara dan menumpang bersama keluarga angkat di Kota Bharu, sama juga dengan suaminya, Muhammad Derasit, 33, juga tinggal bersama keluarga angkat di sini.
Muhammad merupakan lelaki pertama dikenali Nurasiah sejak dia bekerja di sebuah kedai makan di Kota Bharu pada tahun 2017.
"Masa itu kami bekerja bersama dan ketika itulah cinta mula berputik. Dia pun anak yatim piatu macam saya. Jadi kami banyak berkongsi perasaan suka duka.
"Sehinggalah hubungan kami diuji pada tahun 2018, saya disahkan menghidap buah pinggang kronik tahap lima. Masa itu saya hilang arah dan dialah yang memujuk saya supaya kuat semangat untuk meneruskan kehidupan," kata Nurasiah kepada pemberita di Masjid As Salam, Pengkalan Chepa selepas majlis ijab kabulnya yang berlangsung pada jam 10.20 pagi.
Serba kekurangan dan tanpa keluarga, perkahwinan Nurasiah dan suami diuruskan keluarga angkat mereka dan mendapat tajaan sepenuhnya daripada badan bukan kerajaan (NGO) ThirdForce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) dan Rantaian Kasih Malaysia (IKasih) Cawangan Kelantan.
Mengulas lanjut, Nurasiah memberitahu, kesungguhan kasih sayang Muhammad terhadapnya terbukti apabila suaminya itu sanggup bermalam di kaki lima hospital semata-mata untuk berada dekat dengannya ketika mendapatkan rawatan untuk penyakit yang dihidapi.
Ketika itulah mereka berbincang untuk menghalalkan hubungan tersebut dengan ikatan suami isteri memandangkan masing-masing boleh menerima kelebihan dan kekurangan diri.
Nurasiah menjalani dialisis secara percuma tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Muhammad juga menjadi peneman setia dikala dirinya terpaksa berulang alik tiga kali seminggu ke pusat dialisis berkenaan.
Muhammad kini bekerja di sebuah kedai makan di Kota Bharu dengan upah RM35 sehari manakala Nurasiah hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Muhammad ketika ditemui memberitahu, dia tidak pernah meletakkan kekurangan yang ada pada Nurasiah sebagai ukuran.
Malah katanya, telatah Nurasiah yang suka bergurau dan mencuit hati sentiasa menggembirakannya walaupun mereka diuji dengan pelbagai ujian kehidupan.
"Selepas ini saya akan belajar jadi ketua keluarga demi isteri tersayang. Saya nak dia sentiasa sihat, saya nak jaga dia sehingga akhir hayat kami, Insya-ALLAH. Ini amanah ALLAH kepada saya, saya tiada sesiapa di dunia ini, dia pun sama. Doakan kami," katanya.
Bagi yang ingin membantu Nurasiah boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Nurasiah Ibrahim nombor akaun 0301041000452121 atau boleh menghubungi Muhammad di talian 017-8159869.