SHAH ALAM - Touch ‘n Go Group melalui TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) berkerjasama dengan AIA Malaysia (AIA) melancarkan produk kolaboratif pertama mereka, WalletSafe pada harga pengenalan RM1.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, WalletSafe ialah pelan insurans selama enam bulan yang melindungi pengguna Touch 'n Go eWallet sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau Covid-19 dan membayar sehingga sepuluh kali ganda baki amaun Touch ‘n Go eWallet (maksimum RM25,000) mereka.
Menurutnya, ia juga menyediakan perlindungan tambahan untuk transaksi tidak sah yang dilakukan melalui akaun eWallet dan GO+ mereka sehingga RM25,000.
"Kesemua perlindungan ini ditawarkan sebagai tambahan kepada manfaat Money-back Guarantee yang disediakan oleh Touch 'n Go eWallet untuk pengguna yang disahkan.
"WalletSafe adalah produk pertama di pasaran yang mengikat perlindungan insurans dengan baki eWallet dan kami amat gembira dapat menawarkan penyelesaian baharu yang menarik ini dengan harga RM1 sahaja kepada pengguna eWallet kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Effendy berkata, melalui penggunaan teknologi dan inovasi secara efektif bersama-sama dengan AIA Malaysia, pihaknya dapat memberikan nilai yang lebih tinggi serta tawaran produk yang direka khusus buat para pengguna.
"Tambahan pula, produk ini bukan hanya membolehkan para pengguna menikmati ketenangan fikiran tetapi juga menggalakkan mereka untuk menabung melalui GO+ kerana mengetahui bahawa mereka mendapat perlindungan yang lebih tinggi sebanyak RM25,000,” katanya.
Beliau berkata, menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia, transaksi e-dompet telah meningkat sebanyak 131 peratus (%) pada 2020 yang melibatkan 0.6 bilion transaksi, berbanding 0.3 bilion transaksi pada 2019.
"Selain itu, lebih banyak pedagang telah mendaftar untuk menerima e-pembayaran dengan pembayaran kod Tindak Balas Pantas (QR). Touch 'n Go eWallet sudah diterima di lebih daripada sejuta titik penerimaan pedagang DuitNow QR.
"Memandangkan terdapat kenaikan jumlah transaksi, salah satu isu utama yang sering dikhuatiri para pengguna adalah soal keselamatan. Ianya satu kebimbangan yang ingin ditangani oleh Touch 'n Go dan AIA Malaysia melalui pengenalan WalletSafe,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, ketika ramai yang sedang mencari perlindungan serba lengkap untuk eWallet mereka, pihaknya menawarkan produk mampu milik dengan nilai perlindungan yang tinggi kepada lebih 16 juta pengguna rakan kongsi kami yang dapat dinikmati secara eksklusif sebagai pelanggan Touch 'n Go eWallet.
"Produk ini hanyalah permulaan kepada perjalanan jangka panjang dan menarik kami bersama Touch ‘n Go dalam menyediakan penyelesaian baharu, inovatif dan diperibadikan untuk membantu pengguna mereka hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” katanya.
Pada Julai 2021, TNG Digital dan AIA membentuk perkongsian strategik jangka panjang yang membolehkan AIA menawarkan penyelesaian insurans digital kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet, syarikat e-dompet terbesar di Malaysia, WalletSafe adalah produk pertama yang dilancarkan susulan pengumuman tersebut.
WalletSafe boleh dibeli bermula pada Jumaat. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.touchngo.com.my