TOKYO - JEPUN. Buku rekod Guinness hari ini mengiktiraf seorang wanita Jepun berusia 116 tahun sebagai manusia tertua di dunia.
Wanita itu, Kane Tanaka dilahirkan pada 2 Januari 1903 iaitu tahun sama Wright bersaudara melancarkan penerbangan manusia pertama.
Datuk Bandar Fukuoka, Soichiro Takashima mengadakan majlis sambutan sempena pengiktirafan Tanaka di rumah penjagaan orang-orang tua di barat Jepun.
Apabila ditanya apakah saat paling paling gembira dalam hidupnya, Tanaka menjawab:"Sekarang.”
Tanaka biasanya bangun pada jam 6 pagi setiap hari dan belajar matematik serta kaligrafi pada waktu tengah hari.
Sebelum ini, Jiroemon Kimura, direkodkan sebagai lelaki tertua di dunia, meninggal dunia pada Jun 2013 pada usia 116 tahun.
Menurut Guinness, manusia paling lama hidup di dunia adalah Jeanne Louise Calment dari Perancis, yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun pada 1997. – AFP