ALOR SETAR - Seorang lelaki ditemukan lemas terjatuh dalam sungai selepas berusaha mengejutkan jirannya yang berada di dalam rumah yang terbakar di Kampung Betut, Jalan Putra, dekat sini pada Jumaat.
Mangsa, Mohamad Nazri Mohamad Saad, 48, tidak sempat diselamatkan oleh penduduk kampung dan juga anggota bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada jam 5.32 pagi selepas mendapat panggilan kecemasan.
Menurutnya, komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa terjatuh di dalam sungai dan anggotanya telah menemukan lelaki tersebut sebelum bantuan pernafasan diberikan.
"Mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut setelah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kebakaran yang berlaku pula melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar namun tiada mangsa yang terlibat," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Ehsan berkata, punca dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan pihaknya.
Beliau berkata, selain rumah tersebut yang musnah secara keseluruhan, turut hangus adalah lima buah kereta dan dua buah motosikal.