PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melancarkan program transformasi pasar malam pada hujung bulan ini, sebagai mekanisme baharu meningkatkan keyakinan rakyat pasca pandemik Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia merangkumi saringan kesihatan peniaga dan pelanggan, penjarakan fizikal gerai serta penjual dan pelanggan, laluan sehala, penyeragaman operasi pasar malam, di samping menaik taraf kemudahan asas tapak dan peningkatan imej pasar malam yang akan dilaksanakan secara berfasa.
"Kerap kali berlaku penularan Covid-19, salah satu sebabnya adalah kerana melibatkan pertembungan orang ramai.
"Jika kita tidak dapat menyediakan satu model baharu (program transformasi pasar malam), bagaimana kita hendak membina keyakinan rakyat untuk memasuki fasa endemik dengan mengamalkan norma baharu," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan (SHKPS) 2021 di sini pada Jumaat.
Menurutnya, KPKT juga akan memperkenalkan marsyal pasar malam yang melibatkan pemerkasaan komuniti serta penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan operasi pasar malam berjalan lancar.
Pada majlis SHKPS 2021 itu, lapan PBT cemerlang diberi pengiktirafan dalam pelaksanaan Program Kesihatan Persekitaran KPKT 2021 merangkumi Program Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi, Program Tandas Awam Bersih, Program Premis Makanan Bersih dan Program Pasar Awam Bersih.
PBT berkenaan adalah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Perbandaran (MP) Kota Bharu Bandar Raya Islam, MP Manjung, MP Kemaman, MP Segamat, MP Hang Tuah Jaya dan Majlis Daerah Maran.
SHKPS 2021 dengan tema 'Hindari Covid-19, Keluarga Malaysia Sihat' bertujuan mengingati kepentingan kesihatan persekitaran selaras dengan sambutan peringkat antarabangsa pada 26 September setiap tahun.
Menurut Reezal, SHKPS 2021 merupakan sokongan KPKT terhadap Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis. - Bernama