'BN bukan parti yang ekstrem'

Iklan
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak bersetuju Barisan Nasional (BN) dilabelkan sebagai parti atau gabungan ekstrem hanya kerana tidak bersama-sama dalam Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme.

Iklan
Iklan

"Sebuah portal pada hari ini melaporkan kenyataan Presiden Pas yang dipetik berkata PN adalah satu pakatan kesederhanaan yang ditubuhkan sebagai ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

"Memandangkan BN adalah parti yang tidak berada dalam pakatan tersebut, secara tidak langsung beliau turut bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem.

Iklan

"Sudah tentu pandangan sebegini tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem. Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya Pas. Saya rasa semua orang tahu jawapannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khaled berkata, Pas tidak pernah menang besar dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) kerana orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya melihat Pas adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

Iklan

Menurutnya, rakyat tidak yakin Pas boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.

"Walau berpuluh tahun kewujudannya dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasannya sekalipun, majoriti orang Melayu tidak pernah menerima Pas sebagai parti yang boleh mewakili mereka.

"Sekarang Pas berkicau seolah-olah ia lebih 'sederhana dari yang sederhana'. Tetapi rekod dan prestasi Pas jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor berkata, sepanjang kewujudan BN, gabungan itu kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia.

Oleh kerana itu, katanya, BN tidak pernah menyertai pelbagai perikatan lain untuk kononnya tampak sederhana.

"Lihatlah rekod Pas. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.

"Jadi, apabila parti di luar pakatan yang disertai Pas dilabel sebagai parti ekstrem, saya teringat bidalan orang tua-tua 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'," katanya.