KUANTAN - Pengalaman beberapa kali dikejar polis selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya tidak memberi kesedaran kepada lelaki berusia 30 tahun ini untuk memiliki lesen kenderaan.
Azuan (bukan nama sebenar) mengakui dia pernah mengambil ujian lesen memandu pada 2005 dan 2006 namun gagal dan sejak itu dia berputus asa untuk mengulanginya atas beberapa faktor.
Biarpun sedar risiko dihadapinya, dia tiada pilihan kerana mendakwa namanya sudah disenarai hitam akibat tunggakan saman sehingga mencecah ribuan ringgit.
"Saya ada 21 saman dalam tempoh 13 tahun dan semuanya atas kesalahan tiada lesen memandu.
"Daripada saman itu, 20 notis saman membabitkan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen manakala satu lagi kesalahan pertama membabitkan kereta memandu kereta dua tahun lalu.
Lelaki dari Kampung Pandan ini berkata, dia akui sentiasa bimbang kerana statusnya yang 'tidak sah' untuk memandu di atas jalan raya.
"Memang sentiasa bimbang terutama bila ada sekatan...terpaksa lari atau lencong guna jalan lain untuk mengelakkannya...Ada ketika agak bernasib baik bila terlepas namun tidak kurang juga 'terjerat' dan sudahnya terpaksa akur bila terima surat saman. Itu lumrah bagi orang buat salah macam saya,” katanya.
Menurutnya, saman pertama diterima ketika berusia 17 tahun dan kesalahan itu terus berulang.
"Kebanyakan notis saman diterima sekitar bandar ini disebabkan saya bekerja di sini," katanya.
Azuan berkata, dia pernah berhasrat mengambil ujian ulangan untuk mendapatkan lesen memandu selepas dua kali namun ada beberapa faktor membuatkan hasrat itu tidak dapat dipenuhi.
"Dua tahun lalu, saya cuba ambil semula ujian memandu, tapi tak boleh duduki ujian kerana menurut pekerja pusat latihan memandu tersebut nama saya disenarai hitam kerana tidak melunaskan saman tertunggak.
"Kini saya hidup dalam ketakutan kerana sekarang saya mempunyai 21 saman trafik yang kesemuanya kesalahan tiada lesen memandu.
"Semakin hari semakin bertambah kos saman saya, sedangkan saya memang tak mampu bayar. Pendapatan pun kurang dari RM700 dan ada tanggungan,” katanya.
Azuan juga yakin masih ramai di luar sana 'menderita' sepertinya akibat ketiadaan lesen memandu.