PETALING JAYA - Polis akan melakukan siasatan terperinci susulan tular mengenai dakwaan anggota polis menaiki kereta peronda polis telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang individu pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.
Iklan
Iklan
"Kami meminta individu tersebut tampil membuat laporan polis dan keterangannya akan dirakam serta tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan pelanggaran undang-undang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
"Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk tampil membuat aduan di balai polis berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran undang-undang yang melibatkan anggota polis," katanya.
Pada Jumaat, tular di Twitter mengenai seorang individu yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda telah melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.