JERANTUT- Keadaan Sungai Tembeling di Taman Negara yang kian cetek mengundang risiko keselamatan terutamanya buat perkhidmatan bot pelancong.
Situasi itu menimbulkan kesulitan buat pengendali bot yang perlu lebih berhati-hati ketika membawa penumpang ke lokasi masing-masing.
Malah keadaan tersebut menyebabkan jarak masa yang diambil lebih lama kerana paras air yang cetek itu sedikit sebanyak menjejaskan pengendalian bot berkenaan.
Antaranya laluan dari Jeti Tembeling ke Taman Negara terpaksa mengambil masa hingga tiga jam berbanding kebiasaannya dua jam.
Hakikat itu diakui buat seorang pengusaha bot, Ramlan Mat Amin,44 yang berdepan beberapa kerosakan pada bot-bot terbabit.
"Antaranya kerosakan pada kipas dan bawah bot disebabkan pelanggaran dengan batu-batu yang ada.
"Memang ada sedikit kos kena keluar nak baiki tetapi harga tambang tetap kekal," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan tempoh masa lebih lama kerana ada yang tersangkut di pasir hingga ada penumpang terpaksa turun membantu terutamanya di beberapa lokasi tertentu.
Sementara itu bagi seorang pekerja resort,Wan Rafzan Wan Setafa,54, bagi seorang pengguna bot sepertinya mengakui kesulitan yang dihadapi.
"Nak pergi ke tempat kerja amat sukar dengan keadaan air cetek, pengendalian bot menjadi sukar dengan laluan sempit, bahaya.
"Memang saya nampak ada kerosakan yang berlaku dan ia memerlukan kemahiran dan kecekapan pengendali bot, jika tidak memang bahaya buat pengguna seperti saya," ujarnya.
Menurutnya setakat ini tiada rungutan diterima daripada pelancong tetapi bagi pengguna ia memberikan kesan buat mereka yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit setiap hari.