15 projek ‘sakit’ di Sabah, Sarawak: Fadillah

Iklan
Antara projek 'sakit' tersebut adalah pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di Sarawak yang terbengkalai sebelum ini. Gambar kecil: Fadillah

KUCHING - Sebanyak 15 projek infrastruktur Kementerian Kerja Raya di Sabah dan Sarawak diklasifikasikan sebagai projek ‘sakit’ yang lewat pembinaan serta gagal siap mengikut jadual.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara projek tersebut adalah pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di Sarawak yang terbengkalai sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kontraktor penyiap baharu juga telah dan akan dilantik kementeriannya bagi menyiapkan projek-projek tersebut.

"Di Sabah dan Sarawak terdapat 15 projek sakit yang telah dibatalkan kontraknya dan akan dilantik kontraktor penyiap yang akan menyelesaikan projek tersebut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini pada Sabtu.

Pada 26 September, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kontraktor penyelamat telah memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai HPJ sejak awal tahun ini dan hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Iklan

Mengenai jalan baharu ke KIA itu, Fadillah berkata, ia melibatkan pembinaan jalan sepanjang 6.2 kilometer dari persimpangan Stutong hingga ke persimpangan Bukit Berangan di sini.

Beliau berkata, projek bernilai RM112.9 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.

"Projek ini amat penting bagi menangani trafik di kawasan sekitarnya kerana kawasan ini sering menjadi tumpuan kenderaan yang datang dari Samarahan, Serian serta bandar Kuching sendiri.

"Pembinaan jalan baharu ini juga diharap dapat membantu menjana ekonomi penduduk tempatan,” katanya. - Bernama