PERSATUAN Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi merancakkan kembali industri automotif negara, pasca Covid-19.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, melalui pelaksanaan perjanjian ini, Malaysia bakal mendapat manfaat akses pasaran baharu di Kanada, Mexico dan Peru.
Iklan
Iklan
"Pekema berpandangan bahawa pembukaan pasaran baharu ini bukan sahaja memperkukuhkan kerjasama ekonomi sedia ada dengan kesemua negara tersebut, malah memastikan eksport barangan automotif negara terutamanya produk komponen dan alat ganti menerima layanan akses pasaran yang lebih baik melalui inisiatif penghapusan cukai import ke atas barangan itu,” jelasnya.
Selain itu, Zainuddin berkata, langkah meratifikasikan perjanjian CPTPP akan membolehkan pengeluar serta vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor automotif, khususnya usahawan Bumiputera, kekal berdaya saing dan mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif di bawah CPTPP seperti yang sedang dinikmati oleh Vietnam.
Beliau mengulangi ratifikasi CPTPP adalah langkah terbaik dalam proses pemulihan ekonomi negara, pasca pandemik.
"Justeru, Pekema berharap kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi meratifikasi CPTPP dan memastikan perjanjian ini boleh dikuatkuasakan oleh Malaysia selewat-lewatnya tahun hadapan bagi membolehkan industri automotif negara meraih manfaat sepenuhnya daripada perjanjian ini,” katanya.- Bernama
Artikel Berkaitan