Sarawak tidak kompromi banteras pembalakan haram

Iklan
Awang Tengah - Foto fail Bernama

LAWAS - Kerajaan negeri Sarawak tidak akan berkompromi dalam membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri itu, tegas Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, usaha pembanterasan jenayah alam sekitar itu bagaimanapun, turut menuntut kerjasama erat rakyat yang menjadi 'mata dan telinga' dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Jelas Awang Tengah, dalam masa yang sama langkah pemantauan termasuk secara udara dan di lapangan bersama agensi penguatkuasaan serta Jabatan Hutan Sarawak dilakukan secara berterusan dan akan terus dipertingkatkan.

"Penting masyarakat beri kerjasama kepada kerajaan negeri dalam penyaluran maklumat agar kita boleh bertindak dengan cepat. Kita beri jaminan, kita tidak akan mendedahkan identiti pemberi maklumat.

Iklan

"Pembalakan haram ini bukan sahaja merugikan kerajaan, malah ia menyebabkan banyak lagi kerosakan dan menjejaskan alam sekitar serta hutan kita yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna.

"Kalau pembalakan haram berleluasa, ini akan mengganggu usaha kita untuk menjaga, memulihara dan melestarikan hutan di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Iklan

Awang Tengah sebelum itu melancarkan program Le Tour De Restoration, Greening Sarawak's Campaign peringkat Bahagian Limbang di pusat Heart of Borneo (HoB), Kayangeran, Lawas pada Sabtu.

Le Tour De Restoration, Greening Sarawak's Campaign adalah kempen Jabatan Hutan Sarawak untuk meningkatkan penyertaan rakyat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan hutan sejajar dengan Program Penghijauan Malaysia di peringkat Persekutuan.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, ketua-ketua jabatan dan agensi serta ketua masyarakat di Lawas.

Menerusi program itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Alam Sekitar II berkata, HoB akan dijadikan sebagai pusat penyelidikan perhutanan untuk seluruh Sarawak selain membangunkan sebahagian kawasan itu sebagai Urban Forest Park.

"Kawasan ini bukan sahaja jadi lokasi penyelidikan pakar tempatan dan antarabangsa, malah bakal menjadi lokasi tarikan pelancong untuk menikmati keindahan alam serta flora dan fauna di sini.

"Menerusi usaha seumpama ini, Sarawak yakin dapat mencapai matlamat 1 juta hektar kawasan diwartakan sebagai Kawasan Pelindungan Penuh (TPA) di negeri ini menjelang 2025," katanya. - Bernama