Perkampungan etnik Chitty bakal lenyap akibat banjir

Iklan
Kampung Chitty di Gajah Berang, Melaka.

MELAKA - Kampung Chitty di Gajah Berang mungkin tidak segah perkampungan Portugis dan Kampung Morten, namun suara dan harapan sekitar 250 penduduk kampung itu tidak kurang pentingnya untuk didengari calon-calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Chitty di Melaka merupakan kaum India kelahiran Selat Melaka dan berketurunan pedagang India yang datang dari Panai Koromandel di India.

Iklan
Iklan

Menariknya, komuniti yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pertuturan harian ini merupakan waris pedagang India yang menjejakkan kaki di sini sekitar abad ke-15.

Namun, masalah banjir yang berterusan dan kurangnya kerja pemuliharaan yang dilakukan mungkin melenyapkan perkampungan unik ini daripada peta warisan Melaka.

Iklan

Bagi P Vasanthy, 52, dia tidak menolak perkampungan yang diasaskan sejak abad ke-15 itu bakal lenyap disebabkan penduduk terpaksa keluar dari situ kerana tidak tahan berdepan kerosakan harta benda akibat banjir yang sering berlaku.

''Ini yang paling saya kecewa, patah hati sebab perkara ini sudah lama berlaku. Macam banjir besar baru-baru ini, kampung ini terjejas sangat teruk tapi tiada siapa yang datang tengok. Rumah pusaka saya yang berusia lebih 100 tahun pun alami kerosakan.

Iklan

''Kolam takungan banjir yang ada dalam kawasan ini juga seolah-olah tidak berfungsi. Memang kita tak boleh halang hujan namun sekiranya kolam itu berfungsi dengan baik, saya percaya ia dapat mengurangkan paras kenaikan air di dalam kampung ini sewaktu hujan lebat,'' katanya kepada Bernama.

Mengenai keuzuran rumah-rumah di perkampungan tersebut, dia beharap agensi berkaitan seperti Jabatan Warisan Negara menjalankan kerja-kerja pemuliharaan kerana ia adalah warisan keunikan etnik ini yang mampu menarik pelancong seperti di tempat lain.

Menurutnya, kampung berkenaan telah diberi perlindungan sebagai kawasan warisan sejak Jun 2000 seperti perlindungan yang diberikan kepada Kampung Portugis atau Kampung Morten.

"Jadi kita nak apa yang dilakukan di Kampung Morten atau Kampung Portugis, juga dilakukan di sini. Paling utama, hanya ada etnik Chitty, tidak ada kaum, etnik atau bangsa yang lain.

''Ini penting untuk mengekalkan keunikan masyarakat dan satu-satunya kampung yang ada di Malaysia malah di dunia. Jadi amat penting calon atau kerajaan yang akan memerintah Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini ambil tahu perkara ini,'' katanya yang menjelaskan rata-rata rumah di situ adalah warisan daripada nenek moyang mereka yang mencecah ratusan tahun.

Bagi warga emas, K Suppiah Pillay, 72, sebuah dewan komuniti sangat diperlukan bagi meneruskan kesinambungan warisan kebudayaan milik etnik Chitty ini terutama tarian dan makanan.

''Seluruh dunia kenal kaum Chitty melalui tarian dan hebat dalam berpantun. Tapi malangnya, kami tak ada satu dewan yang sempurna untuk anak-anak muda berlatih menari. Sehingga kini, kami mengadakan latihan tarian di rumah tertentu yang mempunyai laman.

''Bukan hanya untuk tarian tapi dewan itu juga penting bagi pelbagai aktiviti yang ingin kami jalankan terutama apabila perlu menyambut tetamu atau pelancong dalam jumlah yang besar,'' katanya. - Bernama