KPM ambil alih operasi sekolah menengah agama di Labuan

Iklan
Sekolah Menengah Agama MAIWP di Labuan akan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) mulai Januari tahun depan. - Foto sumber internet

LABUAN - Operasi sebuah sekolah menengah agama di sini yang dikendalikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selama sedekad akan diambil alih secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Labuan mulai Januari tahun depan.

Sekolah menengah agama di Kampung Lubok Temiang itu mula dibuka pada 2011 dengan kurang 50 pelajar tetapi kini mempunyai lebih 400 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dari Sabah, Sarawak serta Labuan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad berkata, memorandum persefahaman (MoU) untuk pengambilalihan itu telah ditandatangani Jun lepas dan sekolah tersebut akan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

"Pengoperasian masih dengan kerjasama MAIWP memandangkan majlis itu menyediakan premis sedia ada sekolah tersebut, manakala guru-guru daripada KPM,” katanya kepada pemberita selepas program bersama pihak media, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ketua-ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk di sini pada Sabtu.

Iklan

Yusup berkata, semua 30 guru kontrak di sekolah itu akan diserap sebagai guru tetap di bawah KPM.

"Kita mempunyai pelan naik taraf jangka masa panjang untuk sekolah agama ini, iaitu menawarkan Tingkatan Enam kepada pelajar dalam masa tiga tahun lagi, supaya mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Azhar atau Universiti Jordan,” katanya.

Iklan

Sementara itu, kerajaan Persekutuan akan membina sebuah sekolah menengah agama di Kampung Sungai Bedaun di sini, bernilai RM65 juta di bawah peruntukan Bajet 2022. - Bernama