Kempen Beli Barangan Malaysia unjur nilai jualan naik 2.5 peratus

Iklan
Rosol melawat pameran selepas majlis perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 di Dataran Chenang pada Sabtu. - Foto Bernama

LANGKAWI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengunjurkan peningkatan 2.5 peratus nilai jualan sempena Kempen Beli Barangan Malaysia pada tahun ini, daripada RM3.3 bilion dicatatkan pada kempen sama tahun lepas.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, walaupun pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada aktiviti ekonomi, pihaknya optimis nilai jualan pada tahun ini lebih tinggi, berlandaskan unjuran semasa yang hampir mencapai sasaran.

Iklan
Iklan

"Pada 2019, pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion dengan RM6.84 juta daripadanya diperoleh melalui portal dalam talian.

"Jumlah tersebut meningkat kepada RM3.3 bilion pada tahun lepas, dengan nilai jualan menerusi dalam talian mencatat pertambahan amat besar melebihi RM145 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, menerusi kempen itu kementeriannya menggalakkan rakyat Malaysia mengutamakan dan menyokong barangan buatan tempatan, terutama dalam membantu negara bangkit daripada impak pandemik Covid-19, sekali gus memulihkan semula ekonomi.

Dalam pada itu, menyedari banyak lagi produk keluaran tempatan yang unik, berkualiti tinggi serta berpotensi menembusi pasaran dalam dan luar negara, Rosol berkata, kementerian sedang berusaha menambah baik program penandaan logo Buatan Malaysia.

Iklan

Menurutnya, langkah itu selaras dengan hasrat KPDNHEP untuk melihat lebih banyak produk keluaran tempatan diiktiraf dan dikenali terutama di peringkat antarabangsa.

"Penandaan logo Buatan Malaysia ini memberikan nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap sesuatu produk keluaran tempatan, kerana penggunaannya tidak diberi sewenang-wenang kepada pengusaha produk, sebaliknya perlu melalui prosedur permohonan yang ketat,” katanya.

Pada majlis itu, Rosol turut meninjau Karnival Jualan Barangan Malaysia sempena kempen tersebut yang diadakan di Dataran Cenang di sini selama empat hari sehingga Ahad dengan penglibatan 20 usahawan mikro, kecil dan sederhana tempatan. - Bernama