Vietnam batal penganjuran Sukan Para ASEAN 2021

Iklan
Vietnam secara rasmi batalkan penganjuran Sukan Para ASEAN (APG) 2021 di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan Disember ini berikutan kebimbangan terhadap aspek kesihatan dan kesukaran bawa masuk peralatan teknikal dan khusus, semasa pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR - Vietnam secara rasmi membatalkan penganjuran Sukan Para ASEAN (APG) 2021 di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung Disember ini berikutan kebimbangan terhadap aspek kesihatan dan kesukaran membawa masuk peralatan teknikal dan khusus, semasa pandemik Covid-19.

Ini adalah kali kedua APG dibatalkan susulan pandemik dengan pertama kali membabitkan edisi 2019 di Manila, Filipina.

Iklan
Iklan

Persatuan Paralimpik Vietnam (VPA) mengesahkan perkara ini di dalam satu surat kepada Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mejar Jeneral Osoth Bhavilai.

Surat itu ditandatangani Presiden VPA Huynh Vinh Ai.

Iklan

Penganjur memaklumkan pembatalan temasya itu adalah berikutan situasi rumit berikutan gelombang keempat pandemik Covid-19 di Vietnam.

Bagaimanapun VPA berkata, kerajaan Vietnam mengekalkan hak penganjuran Sukan SEA ke-31 yang dijadualkan pada suku kedua tahun depan.

Iklan

"Keputusan dibuat setelah melihat situasi semasa yang telah memberi kesan terhadap langkah-langkah kawalan Covid-19 terutama kepada golongan rentan komuniti/atlet kurang upaya dari segi risiko pada kesihatan dan keselamatan mereka,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan Lembaga Gabenor APSF akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincangkan tindakan seterusnya.

"Mesyuarat tersebut tidak hanya akan membincangkan perkara berkaitan pembatalan Sukan Hanoi tetapi akan turut membincangkan hala tuju temasya tersebut susulan pembatalan dua kejohanan (Manila 2020 dan Hanoi 2021) kerana pandemik,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Vietnam merancang untuk menangguhkan Sukan SEA dan APG selama setahun pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya Jun lepas, namun tidak dipersetujui oleh lapan daripada 11 negara yang mengambil bahagian, termasuk Malaysia.

Sebanyak 11 sukan dijadualkan pada APG Hanoi selepas 16 sukan dipertandingkan pada kejohanan itu di Kuala Lumpur pada 2017. - Bernama